FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


Kulai: Peniaga terpaksa menanggung kerugian apabila wang simpanan berjumlah RM304,200 lesap, selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan wang kripto secara dalam talian, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, mangsa iaitu lelaki berumur 54 tahun, mula melayari iklan di Facebook, pada Oktober tahun lalu, berkaitan pelaburan mata wang kripto.

Katanya, mangsa berhubung dengan suspek menerusi telefon dan diberikan penerangan berhubung pelaburan serta dijanjikan keuntungan dalam masa singkat.

"Mangsa diarahkan oleh suspek untuk memuat turun aplikasi serta membuat pendaftaran akaun di aplikasi berkenaan bagi memantau pelaburan yang dibuat.

"Mangsa membuat pelaburan bermula pada bulan Mac hingga Mei lalu ke beberapa akaun berlainan atas arahan suspek, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM304,200.

"Apabila mangsa melihat status pelaburan di aplikasinya mencatat keuntungan, mangsa memutuskan untuk mengeluarkan wang keuntungan itu tetapi tidak berjaya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Tan, dalam masa sama, suspek juga gagal dihubungi.

"Mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Kulai, kelmarin," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 9:37 AM