PEMEGANG Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM) menjadi tutor sejak 2019 selepas 200 kali gagal dalam sesi temuduga kerja.
PEMEGANG Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM) menjadi tutor sejak 2019 selepas 200 kali gagal dalam sesi temuduga kerja.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Walaupun tidak dapat mengecap nikmat melihat sejak lahir, S Prakash tetap 'celik' dalam ilmu pengetahuan.

Kelebihan itu tidak disia-siakan Prakash, 42, sebaliknya dimanfaatkan bagi mencari rezeki sebagai tutor bagi subjek Bahasa Melayu serta Sejarah.

Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM), Prakash memberanikan dirinya menjadi tutor sejak 2009 selepas dia bermula dengan mengajar subjek Bahasa Melayu diikuti Sejarah pada tahun berikutnya.

Prakash berkata, kerjaya tutor menjadi pilihannya selepas lebih 200 kali gagal dalam sesi temu duga kerja pernah dihadirinya.

Berkongsi pengalamannya, Prakash yang menetap di Subang Jaya, Selangor berkata, dia pernah berkhidmat selama tiga tahun dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menjadi penterjemah dan kaunselor pelajar sebuah institut pengajian sebelum menjadi tutor.

"Daripada situ, saya dapat meluaskan hubungan yang akhirnya membuka jalan bergelar tutor.

"Pada awalnya, ada juga ibu bapa was-was ambil saya sebagai tutor bagi mengajar anak mereka.

"Selepas tengok keputusan peperiksaan, mereka mula yakin dengan saya dan kini, saya mengajar pelajar tingkatan dua hingga lima.

"Saya mengajar bersemuka dengan pergi rumah pelajar dengan kelas diadakan setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.

"Oleh kerana tidak boleh memandu, jadi saya ke rumah pelajar dengan pengangkutan awam iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT)," katanya.

Menurut Prakash, dia mengajar Sejarah kerana baginya, subjek itu mudah diajar untuk dirinya yang ada masalah penglihatan kerana tidak membabitkan elemen grafik.

Katanya, subjek bahasa Melayu pula jadi pilihannya kerana kecederungannya dalam penulisan karangan.

"Setakat ini, pelajar saya memahami apa diajar dan boleh mempraktikkannya hingga di dewan peperiksaan.

"Bagi subjek Sejarah, saya tekankan kepada pelajar jangan terlalu menghafal sebaliknya fahamkan konsep kerana jika hafal, mereka akan tertekan.

"Cuma, segelintir pelajar belajar untuk peperiksaan jadi di samping mengajar, saya ajar ingatkan mereka dengan niat menuntut ilmu.

"Jujurnya, saya bukan jadi tutor kerana duit dan kelangsungan hidup semata-mata tetapi bagi mendidik generasi kini supaya menghargai sejarah," katanya.

Prakash berharap, apa dilakukannya itu dapat membuka mata masyarakat bahawa OKU bukan golongan yang hanya mengharapkan bantuan dan belas ihsan insan sekeliling tetapi mampu menyumbang bakti dalam bidang pendidikan.

"Kepada rakan OKU di luar sana, jika ada bakat dalam apa bidang sekalipun, terus asa kemahiran yang ada kerana siapa tahu, ia dapat menjana pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 6:59 AM