PENAMPILAN Ariff selepas menggunakan rambut  palsu. FOTO ihsan Ariff
PENAMPILAN Ariff selepas menggunakan rambut palsu. FOTO ihsan Ariff
Redzuan Muharam


Johor Bahru: Pada zahirnya, pemuda yang dikenali sebagai Ariff ini nampak normal tetapi hakikatnya dia mengalami masalah keguguran rambut yang serius.

Disebabkan belum mampu menjalani rawatan, Ariff, 25, menggunakan rambut palsu sebagai alternatif untuk menyembunyikan kekurangan diri.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, rambut palsu menjadi pilihannya pada sejak pertengahan 2021 dan digunakan selepas mengalami masalah keguguran teruk pada akhir 2020.

"Saya bukan pakai rambut palsu saja-saja atau nak bergaya tetapi dengan niat menutup kelemahan yang ada.

"Pada awalnya fikir dua tiga kali juga, sama ada nak pakai atau tidak...saya fikir macam mana kalau orang perasan.

"Akhirnya saya teruskan juga kerana fikir mengapa tidak cuba untuk rasai sendiri pengalamannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ariff yang bekerja sebagai pereka grafik dan ilustrator di sebuah syarikat berkata, dia menggunakan rambut palsu setiap hari terutama ketika ke pejabat atau jika ada urusan di luar rumah.

Menurutnya, sejak menggunakan rambut palsu, keyakinannya bertambah untuk tampil di khalayak ramai.

"Mulanya berasa tidak selesa juga kerana seperti ada sesuatu di atas kepala tapi sekejap saja kerana dapat sesuaikan diri dalam tempoh dua hari.

"Saya gunakan rambut palsu yang diperbuat daripada rambut sebenar dan memang selesa dipakai.

"Setakat ini saya ada dua koleksi rambut palsu, yang pertama tutup bahagian atas saja dan kedua jenis penuh.

"Sebelum ini, kalau nak keluar saya kena pakai topi atau dandan rambut tapi kini tak lagi kerana adanya rambut palsu," katanya.

Menurut Ariff, tiada siapa tahu dia menggunakan rambut palsu pada peringkat awal.

"Dalam tempoh enam bulan pertama, tak ada siapa tegur kerana tak perasan mungkin sebab sebelum itu pun saya sudah terbiasa dandan rambut.

"Tapi lama-kelamaan, saya beritahu keluarga dan mereka tak kisah sebab tahu saya ada masalah keguguran rambut yang teruk," katanya.

Ditanya sama ada pernah menjalani sebarang rawatan, Ariff akui sudah membuat pemeriksaan termasuk bertanya kos perlu ditanggungnya.

"Saya ada pergi satu klinik khusus untuk rambut dan dimaklumkan keguguran dialami saya berpunca daripada masalah genetik.

"Bila ditanya kos rawatan, saya dimaklumkan ia menelan ratusan ribu dan saya pula baru bekerja jadi memang tak mampu walaupun teringin nak buat.

"Tapi saya ada kumpul duit juga dengan harapan dapat jalani rawatan supaya rambut kembali elok sebelum usia 30 tahun.

"Ia kerana apabila rambut kembali sihat, saya tak perlu lagi nak pakai rambut palsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 6:30 AM