PEMILIK restoran disiasat kerana disyaki menyimpan barang kawalan tepung gandum dan gula pasir untuk kegunaan sendiri tanpa memiliki permit penyimpanan.
PEMILIK restoran disiasat kerana disyaki menyimpan barang kawalan tepung gandum dan gula pasir untuk kegunaan sendiri tanpa memiliki permit penyimpanan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Pemilik restoran disiasat kerana disyaki menyimpan barang kawalan tepung gandum dan gula pasir untuk kegunaan sendiri tanpa memiliki permit penyimpanan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kajang dalam kenyataan berkata, sebelum ini tular gambar yang didakwa warga asing membeli barang kawalan dengan kuantiti yang banyak.

Menurutnya, susulan itu KPDN Kajang membuat pemeriksaan di pasar raya berkenaan pada 18 Jun lalu.

Katanya, pemeriksaan mendapati gambar yang ditularkan adalah pembelian barang kawalan tepung gandum dan gula pasir dalam kuantiti yang banyak oleh pemilik sebuah restoran yang juga warga tempatan untuk kegunaan restorannya.

"Di dalam gambar itu terdapat seorang berbaju kemeja dan berkain pelikat iaitu pemilik restoran sedang membuat bayaran di kaunter.

"Sementara dua pekerja pasar raya (warga asing) berada berdekatan troli mengandungi beberapa kotak tepung gandum dan gula pasir bagi membantu membawa barangan itu ke kenderaan pembeli," katanya.

Menurut kenyataan itu, pasar raya itu menjalankan perniagaan borong dan runcit barang kawalan tepung gandum, gula pasir serta minyak masak dan mempunyai lesen borong dan runcit yang masih sah.

"Namun, pasar raya itu diambil tindakan kes kerana gagal menyelenggarakan buku stok barang kawalan yang di wajibkan disediakan.

"Menerusi buku stok ini KPDN dapat mengesan edaran barang kawalan kepada pelanggan yang layak sahaja," katanya.

Katanya, KPDN turut memeriksa restoran berkenaan dan mendapati ia dimiliki oleh warga tempatan.

"Bagaimanapun restoran berkenaan didapati menyimpan sejumlah barang kawalan tepung gandum dan gula pasir untuk kegunaan sendiri tanpa memiliki permit menyimpan yang dikeluarkan KPDN.

"Pemilik restoran ini disiasat lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan menyimpan barang kawalan tanpa permit yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 9:13 PM