GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Penjawat awam ditahan hari ini, disyaki menyalahguna kuasa bagi mendapatkan dua perolehan khidmat sewa mesin fotostat dan kerja pemasangan sinki serta perpaipan, kira-kira RM40,000.

Wanita berusia lingkungan 50 tahun yang berkhidmat di sebuah sekolah ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tawau.

Dia akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, suspek disyaki menggunakan jawatannya sebagai Pembantu Tadbir sekolah pada pada 2020 untuk mendapatkan suapan, dengan mempelawa sebuah syarikat bagi perkhidmatan penyewaan mesin fotostat dan copyprinter yang bernilai kira-kira RM20,000, sedangkan kerja berkenaan dilakukan oleh suspek sendiri.

"Pada tahun sama, suspek juga disyaki menggunakan jawatannya untuk memilih syarikat yang ada kepentingan dengan suaminya untuk kerja pemasangan sinki, perpaipan dan lain-lain yang juga bernilai kira-kira RM20,000," katanya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:36 PM