OPERASI mencari dan menyelamat Nyawa Unjong dihentikan hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
OPERASI mencari dan menyelamat Nyawa Unjong dihentikan hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Selepas tujuh hari gagal mengesan Nyawa Unjong, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga emas itu dihentikan hari ini.

Nyawa, 87, dilapor hilang selepas ke kebun berdekatan Rumah Panjang Chabop Diau, Sungai Tarak, Lubok Anam di Marudi pada 12 Jun lalu.

Laporan kehilangannya dibuat di Balai Polis Marudi pada 13 Jun sebelum bomba melancarkan SAR pada hari sama.

Operasi hari pertama menemukan barang dipercayai milik mangsa iaitu sebuah bakul di lokasi kira-kira 300 meter dari rumah panjang, sebelum sayuran hutan yang dicari mangsa pada hari berikutnya.

Berdasarkan petunjuk itu, pasukan SAR meluaskan pencarian sekitar hutan berdekatan kebun serta sungai.

Bagaimanapun, operasi yang membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis serta penduduk kampung gagal mengesan mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi hari ketujuh pada hari ini menggunakan kaedah 'sweep searching' bermula dari bahagian hulu di belakang rumah panjang.

"Pasukan SAR juga melakukan pencarian di kawasan paya berhampiran, namun tiada apa-apa petanda baru ditemui dan pencarian turut dijalankan di sungai dengan radius sejauh 12 kilometer ke sebelah hilir sungai namun tiada petunjuk," katanya.

Berikutan itu katanya, Ketua Polis Daerah Marudi Deputi Superintendan Ruslan Mat Kib mengumumkan operasi SAR ditamatkan pada 4 petang tadi dan operasi boleh disambung semula sekiranya ada petunjuk baharu ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:24 PM