KEMALANGAN di persimpangan lampu isyarat yang mengorbankan penunggang p-hailing berusia 31 tahun. FOTO Ihsan Polis.
KEMALANGAN di persimpangan lampu isyarat yang mengorbankan penunggang p-hailing berusia 31 tahun. FOTO Ihsan Polis.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tindakan penunggang p-hailing memberi laluan kepada ambulans, bertukar tragedi apabila dia dilanggar kereta di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu di sini, hari ini.

Nahas pada 9.50 pagi yang membabitkan dua kereta dan motosikal itu menyebabkan mangsa, Hilmi Saleh, 31, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal dari arah kanan persimpangan, melintas untuk memberi laluan kepada ambulans dari arah sama.

Katanya, turut sama memberi laluan kepada ambulans itu adalah kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 65 tahun.

"Bagaimanapun, Honda Civic dipandu wanita berusia 50 tahun dari arah Ayer Keroh menghala pusat bandar bergerak ketika lampu bertukar hijau dan tidak sempat mengelak mangsa dan Proton Wira.

"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi dan pemandu Proton Wira cedera ringan," katanya dalam kenyataan.

Christopher berkata, pemandu Honda Civic cedera di leher, dirawat di zon kuning Hospital Melaka (HM).

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HM untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 6:43 PM