DATUK Suboh Md Yassin. FOTO Arkib NSTP.
DATUK Suboh Md Yassin. FOTO Arkib NSTP.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC International Sdn Bhd (SRC), Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa peranannya dalam syarikat pelaburan strategik itu dirasakan tiada beza dengan seorang penjawat awam di jabatan kerajaan.

Suboh yang memberikan keterangan dalam perbicaraan kes saman SRC terhadap Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau merasakan urusan hal ehwal SRC di bawah arahan Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, seperti di jabatan kerajaan.

Suboh yang dinamakan selaku pihak ketiga dalam tuntutan sivil itu berkata, Najib mempunyai kawalan penuh dan mutlak ke atas semua aspek perjalanan SRC, kecuali Lembaga Pengarah.

Katanya, perkara pelik yang berlaku dalam urusan hal ehwal syarikat berkaitan pelaksanaan keputusan ialah amalan "arahan pemegang saham" yang disampaikan melalui minit pemegang saham.

"Saya merasakan peranan saya seperti penjawat awam di mana kita sudah terbiasa dan diharapkan dengan tegas mengikut semua arahan daripada pihak atasan, dalam hal ini adalah daripada perdana menteri.

"Jika pihak atasan memerlukan kami melakukan melaksanakan sesuatu, kami tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk membantah atau menolak keputusan itu dan hendaklah mengambil semua langkah yang perlu untuk melaksanakannya.

"Perkara penting berkaitan pembiayaan, pembukaan akaun bank, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), penasihat undang-undang, setiausaha syarikat, penubuhan anak syarikat dan pembentukan syarikat usaha sama terkandung dalam minit pemegang saham yang dikeluarkan Datuk Seri Najib," katanya.

Suboh menjelaskan, dalam keadaan tertentu, minit pemegang saham akan berlaku walaupun sebelum mana-mana resolusi pekeliling pengarah ditandatangani oleh Lembaga Pengarah dan kadangkala, resolusi pekeliling pengarah dan minit pemegang saham mempunyai tarikh sama.

Beliau berkata, pelaksanaan sebenar keputusan yang dibuat itu adalah di bawah bidang kuasa CEO Nik Faisal Ariff Kamil.

Katanya lagi, disebabkan kedudukan dan kuasa Najib yang luar biasa, pengarah syarikat berasa bertanggungjawab untuk mengikuti arahannya sebagai sebahagian daripada kewajipan fidusiari dan statutori mereka untuk bertindak jujur dan demi kepentingan terbaik SRC serta negara.

Sementara itu, Suboh berkata, penubuhan SRC adalah sesuatu yang pelik kerana operasi syarikat itu dikawal dari segenap aspek sama ada oleh Najib atau melalui proksinya iaitu Nik Faisal.

Beliau berkata, ia kerana urusan hal ehwal SRC tidak sama seperti syarikat sendirian berhad lain kerana keputusan berkaitan amalan biasa dan undang-undang sepatutnya di bawah bidang kuasa bebas pengarah.

Namun katanya, beliau mengalami pengalaman yang sungguh berbeza ketika berkhidmat di syarikat berkenaan, apabila semua pelaburan penting dan keputusan strategik harus dirujuk terlebih dahulu kepada Najib yang ketika itu Penasihat Emeritus SRC untuk kelulusan.

Beliau berkata, manakala Nik Faisal yang ketika itu mengetuai bahagian pengurusan, turut dilihat bertindak bagi pihak Najib.

Katanya, peranan dan fungsi pengarah lain termasuk dirinya tidak bermakna kerana mereka terikat untuk mematuhi arahan Najib yang disuarakan melalui minit pemegang saham.

Pada 7 Mei 2021, SRC memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Ia memohon perisytiharan, semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 5:33 PM