Sulaiman menunjukkan stok barang keperluan memasak di dalam stor dapur miliknya.
Sulaiman menunjukkan stok barang keperluan memasak di dalam stor dapur miliknya.
Husain Jahit


Makkah: Sejak datang ke Makkah pada umur 19 tahun lagi hatinya sudah terpaut dengan bumi anbia ini lantas memasang niat membuka perniagaan di sini dan berkhidmat untuk Malaysia serta seluruh dunia yang datang untuk mengerjakan haji atau umrah.

Ibtizam Catering & Food Services Sdn Bhd yang dimiliki 100 peratus anak Malaysia bernama Sulaiman Ismail, 44, berasal dari Banting, Selangor sudah memulakan perniagaan sejak 2022 dengan menyediakan makanan kepada jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

"Sekarang ini saya menyediakan makanan untuk kira-kira 95 peratus jemaah umrah yang dibawa agensi tempatan dan untuk musim haji ini, saya menyediakan untuk lebih kurang 19 agensi pelancongan yang membawa kira-kira 4,950 jemaah menggunakan visa haji dan Mujamalah di 25 hotel sekitar Aziziyah dan Makkah," katanya.

Menurutnya, dia menyediakan makanan secara bufet sehari tiga kali iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan hidangan makan malam yang kesemuanya masakan Malaysia menggunakan rempah 100 peratus dari Malaysia.

"Begitu juga menu-menu sampingan seperti kuih-muih dan nasi lemak sambal ikan bilis, sambal udang serta sambal sotong kering, ubi kayu rebus, kuah kacang, kuih-muih Malaysia termasuk seri muka, ketayap dan ondeh-ondeh," katanya kepada Petugas Media Tabung Haji di pejabat dan dapurnya, di sini, baru-baru ini.

Menceritakan sejarah kedatangannya ke bumi anbia ini, katanya ia bermula dengan bertugas dengan TH sebagai tukang masak pada tahun 1999 hingga 2008 kemudian pada 2010 dia datang untuk membuat umrah dan daripada situ, dia mendapat ilham untuk berniaga di sini.

Pelbagai cara sudah dilalui oleh Sulaiman dalam perniagaan sama ada secara Alibaba, atau menggunakan rakan kongsi hinggalah zaman seluruh dunia dilanda wabak Covid-19 yang mana ketika itu dia hilang punca kerana tidak ada bisnes.

Menurut Sulaiman, pada 2011 dia menunaikan umrah dan berdoa di hadapan Kaabah agar Allah SWT menunjukkan jalan dan Alhamdulillah, akhirnya dia mendapat laluan dan dipermudahkan dengan modal berbayar RM9 juta.

"Akhir tahun 2022, saya dapat tahu dari seorang kawan yang mengatakan Arab Saudi akan mengeluarkan lesen perniagaan yang membenar orang luar memohon. Ia adalah projek pelaburan dan memohon dengan lesen atas nama sendiri," katanya.

"Sekarang saya berniaga atas nama sendiri, 100 peratus nama dan dimiliki oleh saya. Ini syarikat saya yang sudah pun wujud milik anak Malaysia. Sekarang hampir satu tahun setengah saya berniaga guna nama sendiri," katanya.

Menurut Sulaiman, dia membawa 100 peratus barangan keperluan memasak dari Malaysia, 54 jenis barang semuanya termasuk kari, santan kotak, kicap, ikan bilis, keropok dan sebagainya kecuali barangan basah saja yang dibeli dari pembekal tempatan.

"Kebanyakan jemaah berpuas hati dengan masakan kami. Ada ikan masin, sardin, kuih-kuih, roti canai dan murtabak. Kita sediakan juga laksa, mi goreng mamak, bihun sup dan macam-macam lagi.

"Walaupun kos tinggi tetapi kami usahakan juga asalkan jemaah merasa puas hati makan makanan Malaysia," tambahnya lagi.

Sulaiman berkata, untuk memasak dia tidak mempunyai masalah kerana dia sendiri turun padang untuk memasak dibantu enam tukang masak yang dibawa dari Malaysia dan 47 petugas pembantu yang terdiri datangnya dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, India dan Bangladesh selain Burma yang lahir di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 3:24 PM