Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus proaktif memperhebatkan usaha menjejaki asnaf untuk dibantu supaya dengan menggunakan beberapa kaedah termasuk mengoptimumkan teknologi seperti Aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA).

Proses laporan asnaf yang lebih baik dan sistematik digunakan di dalam aplikasi MoJA sebagai saluran daripada orang awam itu supaya tiada lagi keciciran data berkenaan asnaf akan berlaku.

Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, menerusi MoJA sesiapa saja yang menjumpai orang memerlukan bantuan boleh disalurkan menerusi aplikasi berkenaan dan maklumat itu akan terus kepada MAIWP.

"Pihak MAIWP akan segera menghantar pasukan untuk menjejaki asnaf berkenaan. KPI (indeks prestasi utama) kita dalam 48 jam pasukan berkenaan perlu selesaikan isu terbabit.

"InsyaAllah kita akan terus memberi bantuan selepas asnaf yang berkenaan direkodkan di dalam sistem MAIWP," katanya pada Program Ibadah Korban Perdana Sempena 50 Tahun MAIWP di Padang Bola Kompleks Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis, di sini, hari ini.

Program kerjasama antara MAIWP dan Koperasi MAIWP, MAIWP FC dan Pertubuhan Kebajikan Imam Bilal (Perkib) itu membabitkan 17 lembu dikorbankan sempena Aidiladha dengan kira-kira 1,300 bungkusan daging korban diagihkan secara langsung termasuk 500 asnaf di lokasi berhampiran.

Syed Kamarulzaman berkata, turut menyumbang ialah anak syarikat MAIWP seperti Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Hospital Pusrawi, Kolej Universiti Antarabangsa (UCMI), Kolej Profesional Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan MAIWP Healthcare Sdn Bhd.

Sementara itu, asnaf, Ahmad Sayuti Isa, 54, berkata, dia mengetahui program itu menerusi mesej di WhatsApp daripada pihak MAIWP.

"Program seperti ini adalah inisiatif yang baik daripada MAIWP apabila asnaf diberikan perhatian dan disantuni.

"Pihak MAIWP turun padang untuk mengetahui kemungkinan ada mereka yang mempunyai masalah dan diberi peluang menyuarakan secara terus kepada pihak MAIWP.

"Apa-apa yang kita dengar cakap-cakap kononnya pihak MAIWP tidak beri perhatian kepada asnaf, itu tidak benar. Sebenarnya kita yang susah ini juga perlu ke depan untuk menyalurkan maklumat, barulah dapat bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 2:11 PM
SYED Kamarulzaman (tengah) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya (kiri)menyampaikan daging korban kepada penerima ketika Program Korban Perdana 50 Tahun MAIWP di Padang Bola Kompleks Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis Fasa 2. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SYED Kamarulzaman (tengah) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya (kiri)menyampaikan daging korban kepada penerima ketika Program Korban Perdana 50 Tahun MAIWP di Padang Bola Kompleks Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis Fasa 2. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali