NAJIB hadir bagi perbicaraan kes pecah amanah yang dihadapinya bersama Mohd Irwan membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion di Mahkamah Tinggi, hari ini. FOTO Bernama
NAJIB hadir bagi perbicaraan kes pecah amanah yang dihadapinya bersama Mohd Irwan membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion di Mahkamah Tinggi, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes pecah amanah Datuk Seri Najib Razak bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 billion yang dijadualkan bermula hari ini di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan lagi ke 22 Julai ini.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan peguam Datuk Seri K Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan untuk menangguhkan kes berikutan pihak pembelaan masih belum menerima 48 lagi dokumen berkaitan kes daripada pendakwaan.

"Sila pastikan semua dokumen berkaitan kes diserahkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula (22 Julai). Pada 4 Jun lepas, perbicaraan tidak dapat diteruskan dan hari ini ia tidak dapat diteruskan lagi. Saya tidak mahu dengar lagi alasan penangguhan disebabkan dokumen yang tidak diserahkan," kata hakim.

Terdahulu Kumaraendran memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan 48 dokumen itu kepada pembelaan dan tanpa dokumen berkenaan, ia akan memprejudiskan anak guamnya.

"Kebanyakan dokumen terbabit adalah dokumen rakaman percakapan anak guam saya yang akan digunakan sebagai pembelaan dalam kes ini. Dalam surat yang dikemukakan kepada pendakwaan semalam (18 Jun), kami minta agar dokumen-dokumen berkenaan diserahkan kepada pihak kami," katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pula berkata, pembelaan bekas Perdana Menteri itu bergantung kepada keterangan atau kenyataan yang dibuat oleh Mohd Irwan.

"Tan Sri Mohd Irwan kita boleh anggap sebagai 'CEO of the Ministry of Finance' (Ketua Pegawai Eksekutif Kementerian Kewangan) dan beliau mempunyai banyak pengetahuan dalam kementerian itu. Dokumen yang akan diserahkan oleh pendakwaan adalah relevan kepada anak guam saya," kata peguam veteran itu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi mengesahkan terdapat 48 lagi dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia dan sulit masih belum diturun taraf dan belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

"Dokumen-dokumen yang diminta oleh pembelaan antaranya dari Agensi Pengangkutan Awam Darat, Unit Perancang Ekonomi dan kertas Kabinet. Sebelum ditanda sebagai eksibit, dokumen-dokumen ini perlu diturun taraf kerana ia di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"Pihak pendakwaan memerlukan masa sebulan untuk dokumen itu diturun taraf oleh pegawai di agensi berkaitan sebelum diserahkan kepada pembelaan," katanya yang turut memaklumkan pihak pembelaan ada menghantar surat menerusi e-mel semalam bagi penangguhan kes.

Sementara itu, Hakim Muhammad Jamil turut melapangkan perbicaraan esok dan 24 sehingga 27 Jun, serta bulan Julai iaitu pada 2 hingga 4, 9 hingga 11, dan 15 hingga 18.

Pada 24 Oktober 2018, Najib, 70, dan Mohd Irwan, 67, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 2:01 PM