Alias Abd Rani


Muar: Lelaki warga emas yang menghidap gout mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu kandung di sebuah rumah di Kluang, sejak tahun lalu.

Tertuduh berusia 72 tahun yang juga peneroka tanah rancangan membuat pengakuan itu sejurus kedua-dua pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang masih mempunyai isteri dakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuan berusia 10 tahun dalam bilik sebuah rumah di tanah rancangan di Kluang pada jam 11 malam tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia sekali lagi mengulangi perbuatan itu terhadap mangsa pada jam 9 malam, antara April hingga Mei tahun ini, dengan kejadian itu berlaku di tempat sama.

Untuk kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Hukuman bagi Seksyen 14 (a) ialah tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16 (1) yang juga tambahan hukuman, penjara tidak melebihi lima tahun dan juga sebatan tidak kurang dua kali bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan laporan polis, mangsa mengalami kesakitan pada alat sulit sebelum menghubungi ibunya yang menetap di Johor Bahru bagi membantu menghantar ke hospital.

Mangsa tinggal bersama datuknya sejak berusia tiga tahun selepas kedua-dua ibu bapanya bercerai.

Ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, doktor merawatnya memberitahu terdapat kesan koyakan pada alat sulitnya.

Satu laporan polis dibuat pihak hospital pada 9 Jun dengan tertuduh ditahan pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan lelaki itu masih menetap bersama dengan mangsa.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan ikat jamin serta menetapkan 15 Julai ini untuk fakta dan hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 1:04 PM