MUHAMAD Darwish Ezariff (kiri) dan Mohd Faris yang maut dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Kampung Gaong-Kuala Pueh-Empangan Jenagor dekat Kampung Pauh. FOTO ihsan Keluarga
MUHAMAD Darwish Ezariff (kiri) dan Mohd Faris yang maut dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Kampung Gaong-Kuala Pueh-Empangan Jenagor dekat Kampung Pauh. FOTO ihsan Keluarga
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: "Arwah ada bagi tahu mahu pakai baju sedondon bersama saya pada Hari Raya Aidiladha hari ini (semalam) tetapi hasratnya itu tidak kesampaian," kata Muhamad Darnish Ezani Mohd Khairul Azuan,19.

Muhamad Darnish Ezani adalah abang kepada Muhamad Darwish Ezariff, 16, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 4 Jalan Kampung Gaong-Kuala Pueh-Empangan Jenagor dekat Kampung Pauh di sini, kelmarin.

Turut terkorban dalam kemalangan sama adalah Mohd Faris Mohd Zulkifli, 16, selepas motosikal ditunggang mereka hilang kawalan dan terbabas.

Muhamad Darnish Ezani berkata, dia yang menyangka adiknya hanya terbabit dalam kemalangan biasa bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kejadian berkenaan, 4.30 petang kelmarin.

Katanya, dia yang sampai di lokasi kejadian melihat adiknya di atas jalan manakala seorang lagi ahli keluarga tidak memberikan sebarang respon.

"Adik yang juga anak kedua daripada empat beradik kemudian dibawa ke hospital menaiki ambulans dan ketika itu, keadaan adik memang lemah.

"Melihat keadaannya, saya mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian," kata anak sulung daripada empat beradik.

Muhamad Darnish Ezani berkata, kejadian berlaku ketika adik dan sepupu mereka dalam perjalanan menukar barangan kereta di kedai di Kuala Berang.

"Mereka memang rapat dan boleh dikatakan ke mana sahaja akan berdua malah adik ada bergurau beberapa hari sebelum kejadian mahu meninggal dunia bersama-sama.

"Namun siapa sangka gurauan itu menjadi kenyataan apabila kedua-duanya pergi sehari sebelum kita menyambut Aidiladha.

"Memang terasa sebab biasa mereka antara yang paling aktif membantu ketika ibadah korban di kampung ini dan hari ini (semalam), semuanya hanya tinggal kenangan," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Lerek di sini, semalam.

Jenazah dua bersaudara yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lerek di sini kira-kira 1 pagi semalam.

Terdahulu, media melaporkan dua pelajar SMK Jenagor maut apabila motosikal ditunggang mereka hilang kawalan dan terbabas dalam kemalangan di KM 4 Jalan Kampung Gaong-Kuala Pueh-Empangan Jenagor dekat Kampung Pauh di sini.

2 pelajar maut motosikal terbabas

MUHAMAD Darnish Ezani Mohd Khairul Azuan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MUHAMAD Darnish Ezani Mohd Khairul Azuan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 1:05 PM