Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (kiri); Tan Sri Halim Saad (tengah); Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan).
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (kiri); Tan Sri Halim Saad (tengah); Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan).
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Tan Sri Halim Saad merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman dikemukakan beliau terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain berhubung dakwaan mengalami kerugian selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya dalam Renong.

Tokoh korporat itu memfailkan notis rayuannya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan melalui firma guaman Tetuan Surendra Ananth dengan menamakan Dr Mahathir dan dua lagi yang dinamakan dalam samannya, iaitu bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan selaku responden.

Saman itu difailkan Halim yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong terhadap ketiga-tiga pihak terbabit pada 2 Ogos tahun lalu.

Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes rayuan berkenaan pada 9 September ini melalui prosiding yang akan dijalankan secara e-Review.

Dalam keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Mei lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhamad, membenarkan permohonan ketiga-tiga pemohon membatalkan saman itu selepas mendapati satu lagi kes saman difailkan Halim sebelum ini terhadap Khazanah Nasional Berhad, Nor Mohamed dan kerajaan pada 2013, membabitkan isu sama, sudah diputuskan mahkamah.

Katanya, oleh itu apa sahaja isu yang ada, prinsip res judicata (prinsip bahawa kausa tindakan tidak boleh dikemukakan semula antara pihak sama apabila ia sudah dinilai berdasarkan merit) dan alasan tempoh had masa adalah terpakai.

Ketiga-tiga pemohon memohon writ saman dan pernyataan tuntutan Halim dibatalkan atas alasan ia adalah remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Halim menerusi saman pada Ogos tahun lalu, berkata tuntutan beliau berdasarkan pelanggaran haknya oleh Kerajaan Malaysia ketika diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus dalam Renong Berhad daripada United Engineers Malaysia Berhad (UEM).

Ia menurut Opsyen Jual yang dilaksanakan ke atasnya oleh UEM pada Disember 2000.

Ketika itu, Dr Mahathir atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan Nor Mohamed pula sebagai Penasihat Ekonomi Khas kepada Perdana Menteri.

Halim berkata, pada masa material, Renong memegang 37.92 peratus saham UEM dan beliau pemegang saham individu tunggal terbesar dan mengawal Renong.

Katanya, beliau berniat membuat tawaran am ke atas UEM, sama ada melalui Renong atau bersama Renong untuk menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang akan membolehkan beliau memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong.

Beliau mendakwa diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed secara langsung supaya tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui Khazanah atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.

Halim dengan itu, memohon perisytiharan, antaranya beliau pemegang saham Renong dan bukannya Umno, selain mendakwa kerajaan melanggar Perkara 8 (1) atau Perkara 13 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberikan pampasan memadai kepadanya.

Beliau juga memohon perintah supaya kerajaan membayar pampasan kepadanya dan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan atau teruk, faedah, kos atau relif yang sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 1:01 PM