Peniaga, Fatimah Besar (kiri) dan anaknya melihat kerosakan bahagian bumbung kedainya yang diterbangkan angin kencang dan ribut di Batu Tiga Jalan Kuantan-Gambang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Peniaga, Fatimah Besar (kiri) dan anaknya melihat kerosakan bahagian bumbung kedainya yang diterbangkan angin kencang dan ribut di Batu Tiga Jalan Kuantan-Gambang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: "Detik cemas kejadian ribut dan angin kencang yang memusnahkan hampir keseluruhan bumbung kedai, masih segar dalam ingatan saya," katanya Fatimah Besar, 48.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang kelmarin, dua kali angin kencang yang berlaku selama kira-kira dua minit menerbangkan bumbung kedai makan separuh papan yang disewa di Batu Tiga Jalan Kuantan-Gambang.

Turut rosak teruk bumbung bengkel membaiki kenderaan dan warung makan.

Fatimah berkata, ketika kejadian dia dan tiga anaknya sedang membuat persiapan untuk memulakan perniagaan, tiba-tiba berlaku hujan lebat dan angin kencang.

Katanya, sekelip mata bumbung kedai makan miliknya 'terbang' termasuk dua unit kedai lain yang terletak sebaris, dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan hanya mampu ingat pada Allah sahaja.

"Ketika angin kencang saya dapat mendengar bunyi kuat kayu patah dan zink yang bergerak, pada masa sama saya berusaha menyelamatkan diri daripada ditimpa kayu binaan kedai.

"Dalam masa kira-kira dua minit dua kali angin kencang berlaku menyebabkan bumbung kedai saya termasuk dua unit kedai lain musnah diterbangkan angin beberapa meter ke dalam semak berhampiran," katanya, di sini semalam.

Menurutnya, selepas hujan reda, dia melihat sebahagian atap kedai miliknya dan dua kedai lain berada diatas pokok.

"Ini adalah kejadian pertama selepas lebih tiga tahun berniaga di sini dan memusnahkan banyak harta benda. Nilai kerugian lebih RM25,000.

"Tiga tahun lalu berlaku kejadian banjir besar melanda daerah ini menyebabkan kawasan perniagaan kami tenggelam.

"Cuaca tidak menentu di daerah ini menimbulkan kebimbangan kejadian angin kencang dan ribut berlaku terutama pada sebelah petang, kejadian minggu lalu turut memusnah kenderaan apabila dihempap pokok di tepi jalan.

"Saya tidak pasti bila akan memulakan perniagaan, mungkin seminggu lagi selepas kerja membina bumbung baharu selesai dilakukan.

Sementara itu, tinjauan mendapati sebahagian 36 penduduk Rancangan Rumah Murah (RRM) Batu Tiga Setengah yang menjadi mangsa angin kencang kelmarin sudah selesai membaiki bahagian atap rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 8:46 AM