TINJAUAN anjing liar berkeliaran di Taman Awani Bangi. FOTO Ihsan penduduk Taman Awani Bangi
TINJAUAN anjing liar berkeliaran di Taman Awani Bangi. FOTO Ihsan penduduk Taman Awani Bangi
Noor Hidayah Tanzizi

Bangi: Isu gangguan haiwan liar terutama anjing dalam perhatian Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan operasi tangkapan secara berkala dilakukan di kawasan yang dikenal pasti.

Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, demi kesejahteraan penduduk, pihak berkuasa memasang jerat untuk menangkap haiwan liar yang memberi ancaman.

Katanya, kekerapan operasi menangkap haiwan liar akan dipertingkat, manakala pemasangan jerat ditambah bagi kawasan yang didapati berisiko.

"Langkah sama juga (diambil) di kawasan Taman Awani Bangi. Rondaan dan tangkapan ada dibuat (dalam operasi sebelum ini)," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk Taman Awani Bangi yang bimbang dan kurang selesa kebanjiran anjing liar di kawasan mereka sejak beberapa tahun lalu.

Penduduk turut mendakwa anjing liar itu berlonggok di hadapan rumah dan meninggalkan najis yang menyebabkan mereka kurang selesa.

Menurut Kamarul Izlan, sebarang tindakan dan operasi tangkapan haiwan liar dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPKj) 2007.

Katanya, pada Januari lalu MPKj menerima dua aduan berhubung isu berkenaan membabitkan perumahan Taman Awani Bangi dan sebagai tindakan, operasi tangkapan digerakkan.

"Bagaimanapun dalam dua operasi yang dilakukan ketika itu, tiada tangkapan dibuat kerana haiwan tiada di lokasi.

"Aduan terbaharu yang diterima berhubung isu sama ialah bulan lalu iaitu pada 29 Mei dan 31 Mei," katanya yang memaklumkan tindakan lanjut akan segera diambil.

Dalam masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa bekerjasama dan tidak memberi makan anjing liar kerana ia cenderung menyebabkan kehadiran lebih banyak haiwan itu terutama di kawasan perumahan.

"Sisa makanan juga boleh menyebabkan persekitaran menjadi kotor dan dikhuatiri mengundang haiwan atau serangga pembawa penyakit lain seperti tikus dan nyamuk Aedes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 7:05 AM