ASSAHRIL (dua dari kiri) ketika Program Jualan Tilapia Segar IPR-INTAN di Pusat Pembenihan Ikan, UPM, Puchong. FOTO BERNAMA
ASSAHRIL (dua dari kiri) ketika Program Jualan Tilapia Segar IPR-INTAN di Pusat Pembenihan Ikan, UPM, Puchong. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Puchong: 'Hasil tidak mengkhianati usaha', begitulah disifatkan apabila ikan tilapia merah yang diusahakan kumpulan pertama peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) sektor akuakultur kini boleh dipasarkan.

Zulkefli Shafie, 40, seorang daripada lima peserta program itu, berkongsi berita gembira selepas hampir lima bulan menternak tilapia di Pusat Pembenihan Ikan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Mungkin pendapatan sekarang RM2,000 sebulan tetapi lepas sertai IPR-INTAN ini, mungkin boleh cecah RM6,000 sebulan. "Pada pandangan saya, memang nampaklah keberkesanan program ini. Saya harap kerajaan akan teruskan," katanya ketika ditemui pada Program Jualan Tilapia Segar IPR-INTAN, di sini, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman menyertai IPR-INTAN, Zulkefli berkata, pada mulanya setiap peserta mengusahakan empat sangkar ikan, namun meningkat kepada 12 sangkar apabila saiz ikan semakin membesar.

"Kami masing-masing ada 12 sangkar ikan yang ada antara 400 dan 500 ekor ikan (satu sangkar)," katanya yang menyertai program itu dengan tekad mahu meningkatkan tahap ekonomi.

Menurut Zulkefli, beliau bersama empat peserta lain mula 'menuai' hasil sejak awal bulan ini apabila mendapat permintaan daripada pelanggan khususnya sahabat handai dan rakan sepejabat.

"Saya sendiri sudah jual 15 kilogram (kg) ikan sebab sudah ada pelanggan yang mahu," katanya.

KHIDMAT menyiang ikan juga disediakan kepada pembeli. FOTO BERNAMA
KHIDMAT menyiang ikan juga disediakan kepada pembeli. FOTO BERNAMA

Dari segi pemasaran, katanya, perkara itu tidak menjadi masalah kerana mereka didedahkan dengan pelbagai ilmu oleh tenaga pengajar UPM termasuk kaedah penternakan ikan dan pemasaran.

"IPR-INTAN ini sangat bermanfaat dan perlu diteruskan bagi membantu golongan B40 menimba ilmu untuk menjadi usahawan tani yang berdaya saing dalam memantapkan keterjaminan makanan negara," katanya.

Menurut Zulkefli, beliau berhasrat untuk memiliki kolam ternakan ikan dan pusat pembenihan sendiri bagi memanfaatkan ilmu yang diperoleh itu termasuk pendedahan tentang pertanian pintar berteraskan Internet Kebendaan (IoT).

"Saya berminat untuk ceburi bidang ini (pembenihan ikan) pada masa hadapan sebab kita dah ada IoT, tak perlu tunggu ikan bertelur. Itu impian saya," katanya yang sebelum ini menternak ikan tilapia dan keli sangkar secara kecil-kecilan dengan hanya merujuk media sosial.

Peserta lain Assahril Azuan Alid, 43, pula menjual 34kg tilapia setakat ini dan menjangkakan jualan akan terus meningkatkan ekoran permintaan menggalakkan terutamanya secara dalam talian.

Turut bercita-cita untuk memiliki kolam ternakan sendiri, katanya, ilmu yang dimiliki dan sedang diamalkannya tidak patut disia-siakan.

Menurutnya, ia perlu dipraktiskan dengan mengusahakan ternakan ikan sangkar secara besar-besaran apabila tamat tiga pusingan ternakan di Pusat Pembenihan Ikan UPM, hujung tahun ini.

"Saya sertai IPR-INTAN sebab minat. Sebelum ini saya ternak ikan keli sekadar hobi sahaja. Tapi apabila tahu tentang IPR-INTAN, saya mohon, dan kini saya salah seorang peserta dan usahakan ternakan ikan sangkar tanpa perlu keluar modal," katanya.

ASSAHRIL bercita-cita untuk memiliki kolam ternakan sendiri. FOTO BERNAMA
ASSAHRIL bercita-cita untuk memiliki kolam ternakan sendiri. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM Prof Ir Dr Hang Tuah Baharuddin berkata, inisiatif berkenaan adalah mandat daripada Kementerian Ekonomi untuk menjayakan IPR-INTAN dengan menyediakan latihan dan lokasi kepada peserta.

"Apa yang kita lihat ini (sangkar ikan) adalah sebahagian daripada projek IPR-INTAN. Kita mahu lahirkan petani dan penternak moden yang guna teknologi terkini dalam menghasilkan sumber makanan," katanya.

Menurutnya, UPM menetapkan tiga pusingan ternakan bagi melatih peserta melalui pelbagai situasi termasuk berdepan kegagalan.

Katanya, setiap peserta juga didedahkan dengan kemahiran untuk menghasilkan produk hiliran seperti sejuk beku dan filet ikan sebagai nilai tambah kepada produk sedia ada bagi mengelakkan pembaziran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 7:02 AM