USIA bukan penghalang buat Elanghovanmencapai cita-citanya menakluk tiga gunung tertinggi di dunia. FOTO Bernama
USIA bukan penghalang buat Elanghovanmencapai cita-citanya menakluk tiga gunung tertinggi di dunia. FOTO Bernama
BERNAMA

Rembau: Rasa bangga yang menyelubungi dirinya di saat melihat Jalur Gemilang berkibar megah di puncak gunung yang didaki, membuatkan N. Elanghovan berasa setiap pengorbanan yang dilakukannya, termasuk menjual rumah demi menakluki tiga gunung tertinggi di dunia, terbayar.

Lebih-lebih lagi pencapaian itu dicatatkan pada umur 60-an, tatkala kebanyakan warga emas seusianya meluangkan masa dengan keluarga dan berehat di rumah atau bermain dengan cucu.

"Saya berasa amat bangga dapat mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali menamatkan misi pendakian, dengan keindahan pemandangan yang luar biasa dari puncak gunung. Segala pengorbanan yang dilakukan rasa sangat berbaloi," kongsinya kepada Bernama.

Menurut pendaki berusia 65 tahun itu, beliau berjaya menakluk tiga puncak tertinggi dunia dalam tempoh enam tahun, dengan yang terbaharu Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat, pada 30 Jun tahun lepas.

Bermula dengan kejayaan mendaki puncak Kilimanjaro berketinggian 5,895 meter pada 2018, pesara Tenaga Nasional Berhad itu menakluki puncak tertinggi dunia Gunung Everest (8,849 m) empat tahun kemudian, sebelum menyahut panggilan Gunung Denali (6,190 m) yang dikuasai selepas 23 hari pendakian tanpa malim gunung.

Lebih mencabar berbanding Everest

Berkongsi pengalamannya, Elanghovan berkata, pendakian Gunung Denali adalah paling sukar pernah dilaluinya, berikutan cuaca bawah paras beku -30 darjah Celsius berserta angin kencang dan ribut salji yang benar-benar menguji kekuatan fizikal dan mentalnya walaupun beliau adalah pendaki tegar.

"Ekspedisi Gunung Denali lebih mencabar daripada Gunung Everest. Saya lengkapkan pendakian di lima kem (Kem 1 hingga 5) tanpa malim gunung, iaitu saya bawa sendiri semua kelengkapan.

"Apabila sampai di Kem 4, kami perlu berada di dalam khemah selama tiga hari sebab cuaca tidak menentu... ribut salji, whiteout (keadaan putih seluas mata memandang) dengan jarak penglihatan amat terhad, walaupun dalam jarak 10 meter, kita tidak nampak apa-apa. Jadi, sangat bahaya kerana silap langkah kita boleh jatuh ke dalam krevase (jurang glasier)," katanya.

Menurutnya, sepanjang pendakian itu yang dilakukan bersama-sama seorang rakan dari India, beliau menggalas beg berisi barangan, antaranya makanan kering, selain mengheret kereta luncur salji yang di atasnya diletakkan beg galas mengandungi pakaian serta empat tandas mudah alih khas.

Mendaki dalam keadaan bersalji sambil menggalas dan mengheret beban yang kedua-duanya seberat 15 kilogram, menuntut kekuatan fizikal dan kecekalan mental yang tinggi.

"Jika cuaca baik, suhu adalah sekitar -10 darjah Celsius, dan jika berlaku ribut salji, suhu boleh mencecah -30 darjah Celsius. Selain itu, mendirikan khemah ketika ribut salji juga sangat mencabar kerana jari tangan mengalami frostbite (luka beku) yang ketara. Pendaki juga perlu membina benteng salji di sekeliling khemah bagi mengurangkan kesan angin sejuk," katanya.

Bagaimanapun kata Elanghovan, segala kepayahan dan keletihan yang dirasai hilang selepas tiba di puncak.

"Apabila sampai di puncak tertinggi di Amerika Utara itu, pemandangan di sana sangat indah. Saya bersyukur semasa sampai di puncak, cuaca sangat baik, (apabila) saya lihat gunung-gunung di Banjaran Alaska sangat cantik, segala penat lelah berbaloi, sangat berpuas hati," katanya.

Apabila mengenang kembali pengalamannya itu, Elanghovan berkata, beliau memahami nasib yang menimpa tiga pendaki negara yang terkandas di Gunung Denali baru-baru ini.

Insiden itu turut menyebabkan seorang daripada pendaki terbabit meninggal dunia.

"Ketika berada di puncak beraltitud tinggi dan cuaca tidak menentu, risiko yang dihadapi oleh para pendaki adalah luka beku, terutama pada tangan dan kaki, High Altitud Cerebral Edema (HACE), High Altitud Pulmonary Edema (HAPE) dan hipotermia yang boleh menyebabkan maut.

"Alaska yang terletak di Garisan Artik, mengalami keadaan siang 24 jam (midnight sun) bermula pertengahan April hingga pertengahan Julai. Ketika itu, kawasan luas bersalji. Risikonya apabila cuaca tidak baik, makanan pula kurang, tubuh menjadi semakin sejuk dan boleh menyebabkan hiportemia, HACE atau HAPE," jelasnya.

Perbelanjaan besar

Bercerita lanjut, anak kelahiran Cameron Highlands ini yang sekarang menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan, berkata beliau membelanjakan sekitar RM40,000 untuk ekspedisi Gunung Denali, termasuk tiket penerbangan dan lain-lain.

"Jika saya ambil malim gunung, saya perlu bayar US$12,000 lagi, jadi kami putuskan untuk bergerak sendiri," ujarnya, menambah beliau juga mengeluarkan duit sendiri untuk pendakian Gunung Everest.

Mengakui aktiviti itu memerlukan perbelanjaan besar, beliau bersyukur isteri dan dua anaknya memahami serta memberikan sokongan penuh kepadanya meskipun tahu kegiatan tersebut berisiko tinggi.

"Saya jual rumah kedua di Shah Alam, Selangor pada harga RM300,000, untuk menampung perbelanjaan kegiatan ini termasuk bagi ekspedisi Gunung Denali," tambahnya.

Selain kos, Elanghovan berkata, seorang pendaki juga perlu memastikan tahap kesihatan yang baik.

Beliau yang tidak merokok ataupun mengambil minuman keras, berkata amalan harian yang sihat selain sentiasa berfikiran positif amat penting dalam penjagaan kesihatan.

"Saya dibesarkan di Cameron Highlands... kawasan rumah berhampiran dengan hutan dan bukit. Sejak kecil lagi saya sudah biasa masuk hutan mencari kayu untuk tanam sayur-sayuran. Hutan ni ibarat rumah kedua saya," katanya yang telah mendaki kesemua 20 gunung tertinggi di negara ini.

Lengkapkan misi daki tujuh puncak tertinggi

Mengimbau kembali penglibatannya dalam kegiatan itu, Elanghovan berkata, beliau mula serius dengan aktiviti mendaki setelah berusia 50-an.

Ketika itu beliau sedang tercari-cari aktiviti baharu setelah bersara supaya badan dan mindanya kekal sihat dan bertenaga.

"Tiada istilah lewat... sesiapa sahaja boleh menceburi apa-apa bidang atau sekurang-kurangnya memilih satu aktiviti yang boleh dimanfaatkan di hari tua nanti. Paling penting kesihatan mesti baik, jaga pemakanan," katanya.

Pada masa sama, Elanghovan berharap kejayaannya menguasai tiga puncak tertinggi dunia setakat ini dapat membuka peluang untuknya berkolaborasi dengan mana-mana pihak, terutama dalam memenuhi misi beliau melengkapkan pendakian tujuh puncak tertinggi dunia.

"Cita-cita saya mahu melengkapkan misi pendakian di tujuh gunung tertinggi di dunia. Kos memainkan peranan penting…jadi saya berharap ada pihak yang sudi bekerjasama untuk meneruskan misi ini.

"Walaupun sudah berusia, saya yakin dengan kemampuan diri, kecergasan badan masih baik. Saya bersedia berkongsi ilmu serta pengalaman dengan mana-mana pihak, terutama anak muda. Semoga pengalaman yang ada ini dapat dimanfaatkan bersama," katanya.

Elanghovan berhasrat meneruskan impiannya menakluki Gunung Elbrus (5,642 m) di Rusia, Gunung Aconcagua (6,961 m) di Argentina, Amerika Selatan; Gunung Vinson Massif (4,892 m) di Antartika dan Gunung Kosciuszko (2,228 m) di Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:26 PM