GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Marah, bengang dan kecewa mungkin sesuai menggambarkan perasaan seorang pesara kerajaan di daerah ini apabila akhirnya menyedari dirinya ditipu scammer yang menyebabkan kerugian RM129,720, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa pada mulanya dihubungi oleh pihak yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, mangsa terkejut selepas didakwa sebagai dalam senarai suspek yang akan ditangkap bagi kes pengubahan wang haram dan dadah

"Pada 5 Jun lalu, mangsa menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai SKMM. Kemudian, mangsa diarahkan pula untuk berhubung dengan pegawai PDRM di Bukit Aman.

"Suspek memaklumkan segala aset serta wang dalam akaun bank milik mangsa akan dibekukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengikuti semua arahan termasuk melakukan pemindahan wang kononnya untuk siasatan BNM, sebelum menyedari terdapat pemindahan bank ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali.

"Mangsa berasa tertipu dan mengalami kerugian sejumlah RM129,720 dan membuat laporan polis mengenainya pada 11 Jun lalu," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 9:57 AM