MOHD Azmil. FOTO Husain Jahit
MOHD Azmil. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: "Kata-kata akhir saat bersama Allahyarham isteri, dia minta saya temankan dan duduk sebelah dia. Alhamdulillah saya dapat ikut sekali duduk di dalam ambulans dan ketika itulah isteri mula tidak sedarkan diri," kata Mohd Azmil Abdul Hanid, 38, yang baru kehilangan isteri tersayang di Hospital Raja AbdulAziz, baru-baru ini.

Menurutnya, apabila isteri sudah tidak sedarkan diri, pihak hospital memaklumkan hendak membuat imbasan di bahagian kepala.

"Selepas itu saya pun pulang ke hotel penginapan. Keesokan harinya saya dimaklumkan oleh doktor bahawa jantung isteri saya terhenti selama enam minit membuatkan saya terkedu dan sedih.

"Doktor terpaksa buat pembedahan segera ke atas otak Allahyarham untuk keluarkan cecair, jika tidak otak menjadi sempit. Doktor kata selepas 24 jam pesakit akan sembuh, tetapi kes isteri saya, dia masih koma dan tidak bangun-bangun," katanya lagi dalam sebak menceritakan kepada Petugas Media Tabung Haji, di sini, baru-baru ini.

Mohd Azmil kehilangan isteri Zuraida Mohd Haris, 37, dari Ampang, Selangor, yang meninggal dunia di sini. Jenazah isterinya disembahyangkan di Masjidilharam sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram selepas waktu Subuh.

Dia mendirikan rumah tangga dengan Zuraida sejak 12 tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia sembilan tahun.

Mohd Azmil berkata, sepanjang enam hari Allahyarham berada dalam keadaan koma, Mohd Azmil sentiasa melawat dan berdoa supaya isterinya segera sembuh.

Tetapi katanya, doktor memberitahu bahawa tekanan darah Zuraida semakin rendah dan akan pergi pada bila-bila masa.

"Saat pemergiannya, saya sempat pergi ke depan Kaabah membuat tawaf sunat dan berdoa bersungguh-sungguh untuk pengakhiran yang untuk isteri. Sebaik selesai tujuh pusingan tawaf saya mendapat panggilan ketika di depan Kaabah lagi yang memaklumkan isteri sudah pergi buat selama-lamanya," katanya lagi.

Mohd Azmil diberi peluang mengiringi jenazah ke Masjidilharam untuk disembahyangkan sebelum ke Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram.

Ketika di tanah perkuburan, dia dapat masuk ke liang lahat untuk menyambut jenazah isteri.

"Memang terlalu sayu ketika saya masuk ke dalam van dan meninggalkan tanah perkuburan. Saya sangat berharap satu masa, berpeluang untuk melawat pusara isteri saya.

"Saya percaya isteri seorang yang baik. Dia seorang ustazah yang mengajar agama sebagai guru Kafa. Saya dengar ketika isteri saya nak berangkat ke Tanah Suci, ramai murid dia menangis dan pihak sekolah juga ada buat bacaan Yasin sebaik mendapat berita. Pada waktu malam, isteri saya mengajar mengaji. Isteri saya seorang yang taat," katanya mengakhiri cerita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 8:09 AM