DR Faudzinaim (tengah) menyampaikan anugerah kepada penerima (kanan) pada majlis merasmikan Barakah Umrah di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
DR Faudzinaim (tengah) menyampaikan anugerah kepada penerima (kanan) pada majlis merasmikan Barakah Umrah di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Port Dickson: Kumpulan atau individu yang ingin menunaikan umrah perlu berhati-hati dengan tawaran pakej rendah dan tidak munasabah kerana dikhuatiri pakej berkenaan tidak mampu ditunaikan syarikat pengendali umrah.

Mufti Negeri Sembilan Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin, berkata tidak dinafikan dalam keghairahan umat Islam menunaikan umrah ketika ini, terdapat sesuatu aktiviti yang tidak menyenangkan.

Beliau berkata, terdapat sesetengah syarikat yang menawarkan pakej menunaikan umrah yang sebenarnya tidak masuk akal iaitu nilai yang rendah sehingga terbukti pakej berkenaan tidak dapat ditunai seperti dijanjikan.

"Akhir-akhir ini berlaku beberapa kes membabitkan jemaah umrah yang menghadapi kesulitan dan terkandas ketika berada di Makkah atau Madinah.

"Terdapat juga kes berkaitan aspek kebajikan jemaah umrah yang gagal diberikan perhatian pihak pengendali umrah.

"Dalam hubungan ini, kita lihat bahawa perlunya umat Islam berhati-hati dalam mencari pakej umrah yang diperlukan dengan memastikan mereka tidak merasa tertipu dan akhirnya menyebabkan kerugian," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Barakah Umrah di sebuah pusat pelancongan di Lukut dekat sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan (KPKNS) Datuk Nasarudin Malek dan Pengarah Urusan Barakah Umrah Siti Fairuz Omar.

Dr Faudzinaim berkata, orang ramai tidak harus terpengaruh dan bulat-bulat percaya dengan tawaran pakej umrah yang berleluasa di media sosial.

Beliau berkata, maklumat yang disebarkan di laman berkenaan kadang kala tidak dapat dipastikan kesahihannya.

"Kita jangan terpengaruh atau mudah percaya dengan tawaran pakej rendah itu kerana ramai dalam kalangan umat Islam berhasrat untuk menunaikan umrah, namun tertipu.

"Mereka perlu melakukan semakan terlebih dulu dan pastikan maklumat sahih. Dalam hendak memastikan itu perlu menghubungi pihak yang berintegriti bagi mendapatkan penjelasan supaya tidak tertipu," katanya.

Sementara itu, Nasarudin berkata, Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan bekerjasama dengan Barakah Umrah dalam memastikan ahli koperasi yang ingin menunaikan umrah mendapat pakej yang berpatutan.

Beliau berkata, melalui kerjasama itu, pihaknya dapat membantu 7,000 ahli koperasi yang berhasrat untuk menunaikan umrah dengan lebih teratur sekali gus dapat mengelak mereka pergi ke Mekah dan Madinah dengan agensi yang bermasalah.

"Maklum saja lah, pekebun kecil ini orang yang setia dengan kebun getah dan itulah hasil pendapatan mereka, jadi kita tidak mahu mereka kecewa atau ditipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:02 AM