LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Muhamad Lokman Khairi


Seri Iskandar: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang menjadi saksi kejadian ibunya dibunuh bapa di Kampung Simee, Ipoh, semalam kini ditempatkan di hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta pemantauan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pemeriksaan oleh doktor diperlukan untuk mengenalpasti sama ada wujud unsur penderaan terhadap kanak-kanak terbabit.

"Kita bimbang kanak-kanak itu ada kecederaan fizikal atau dalaman.

"Jadi kita bawa dahulu dia ke hospital ditemani pegawai JKM untuk rawatan dan kemudian disusuli sesi kaunseling kesan daripada segi psikologi," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada program 'Open Mic with Kak Sal' di sini, hari ini.

Mengulas mengenai penempatan kanak-kanak itu, Salbiah berkata, berdasarkan maklumat JKM, kanak-kanak perempuan itu mempunyai datuk dan nenek sebelah ibunya serta dua adik-beradik lain.

Beliau berkata, pihak JKM akan membuat penilaian terhadap bakal penjaga terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkenaan penempatan kanak-kanak itu nanti.

"Kita akan lihat kesanggupan (bakal penjaga) dan kita nak lihat juga dari segi keselamatannya.

"Kita tak boleh sewenang-wenangnya melepaskan kanak-kanak terbabit walaupun kepada saudara sendiri.

"Jika kita lihat saudara itu tak boleh menjaga, maka kita akan ambil tindakan untuk tempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak di bawah JKM," katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dipetik berkata, mangsa ditemukan terbaring berlumuran darah dengan tiga kesan tikaman di bahagian dada dan kecederaan di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:04 PM