GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


Jasin: Polis menahan seorang doktor, hari ini bagi membantu siasatan kes cabul terhadap pekerja klinik swasta di Merlimau.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada 3.15 pagi di pekarangan Balai Polis Merlimau.

Katanya, sebelum itu pada 2.24 pagi, pihaknya menerima laporan daripada pekerja wanita berusia 19 tahun, mendakwa dicabul doktor terbabit ketika berada di klinik.

"Mengetahui laporan dibuat terhadapnya, doktor itu yang difahamkan sudah bertugas sejak September tahun lalu kemudian tampil menyerah diri .

"Kejadian didakwa berlaku ketika mereka berdua sedang berbual. Terdapat seorang lagi pekerja klinik di tempat kejadian namun dia dikatakan tidak menyedari apa yang berlaku," katanya.

Ahmad Jamil berkata, permohonan reman ke atas doktor itu dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Jasin.

Katanya, mahkamah membenarkan suspek direman tiga hari hingga Sabtu untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 5:31 PM