GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas tanpa membebaskan seorang lelaki bergelar 'Datuk' daripada 12 pertuduhan melupus dan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM4 juta, lapan tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria memaklumkan pihaknya menarik balik semua pertuduhan terhadap Datuk Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 54.

"Sebelum ini, tertuduh menghadapi 16 pertuduhan dan mohon mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh daripada 12 pertuduhan yang ditarik balik manakala baki empat lagi pertuduhan akan diteruskan oleh pihak pendakwaan," kata Rozaliana.

Peguam Harjinder Singh Sandhu, yang mewakili tertuduh, tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, Ahmad Azwan didakwa melupuskan wang berjumlah RM815,863.06 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun simpanan miliknya di Bank Islam Malaysia Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara April 2016 hingga April 2018.

Ahmad Azwan turut berdepan lima pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM3,020,299.98 iaitu hasil aktiviti haram daripada akaun simpanan miliknya ke satu lagi akaun bank beliau dan dua akaun bank masing-masing milik seorang lelaki serta sebuah syarikat di tempat sama antara 11 Jun 2016 hingga 20 Disember 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa ia dilakukan atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Rozaliana memaklumkan mahkamah terdapat pindaan membabitkan empat lagi pertuduhan terhadap Ahmad Azwan dan memohon kesemuanya dibacakan kepada tertuduh yang mengaku tidak bersalah.

Beliau didakwa menerima wang berjumlah RM3,961,003.03 iaitu hasil aktiviti haram yang didepositkan ke dalam akaun miliknya di Bank Islam cawangan Taman Melawati antara 11 Januari 2016 dan 9 Mac 2018.

Pada prosiding hari ini, Rozaliana dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd 'Afif Ali dan Haresh Prakash Somiah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 5:10 PM