KAKITANGAN Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) melakukan pemantauan dan semakan ke atas restoran dan kedai makan di daerah Sabak Bernam untuk melaksanakan pemasangan serta penyelenggaraan perangkap minyak. FOTO Ihsan MDSB
KAKITANGAN Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) melakukan pemantauan dan semakan ke atas restoran dan kedai makan di daerah Sabak Bernam untuk melaksanakan pemasangan serta penyelenggaraan perangkap minyak. FOTO Ihsan MDSB
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengarahkan semua restoran dan kedai makan di daerah ini melaksanakan pemasangan serta penyelenggaraan perangkap minyak.

Yang Dipertua MDSB Azman Dahlan berkata, perkara itu bertujuan menangkap serta menapis sisa lemak, minyak, dan bahan organik lain daripada air sisa yang dihasilkan aktiviti memasak dan membersih di dapur restoran.

Selain itu katanya, ia turut mengelakkan daripada paip tersumbat.

"Setiap pemilik atau pelesen premis establisymen makanan perlu memasang perangkap minyak yang bersesuaian di premis perniagaan masing-masing.

"Peralatan itu hendaklah dipasang pada bahagian saluran paip pembuang selepas basin (sinki basuhan) sebelum ke bahagian pembuang terus ke longkang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, perangkap minyak harus diselenggara secara harian atau mingguan mengikut kesesuaian jadual penyelenggaraan.

Menurutnya, bahagian lemak, minyak dan gris pula perlu dibuang ke dalam plastik sampah hitam sebelum dilupus ke tong sampah dan dilarang membuangnya ke dalam longkang.

"Pelanggaran syarat atau perintah boleh menyebabkan pelesen dikenakan tindakan di bawah Seksyen 65 Undang- undang kecil Pelesenan Establisymen Makanan (Majlis Daerah Sabak Bernam) 2007, iaitu denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Jika kesalahan ini masih dilakukan lagi setelah pensabitan, pelesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200bagi setiap hari kesalahan itu berterusan dilakukan, jika disabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 4:07 PM