GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Klang: Guru wanita akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, esok kerana memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, pada bulan lalu.

Ketua Polis Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata guru wanita berusia 25 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pada 13 Mei lalu, seorang lelaki berusia 33 tahun iaitu bapa kepada kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis mendakwa anaknya dipukul.

"Pengadu terdahulu menerima gambar anak lelakinya dengan kecederaan di bahagian pipi dan belakang badan sebelum mengetahui anaknya dipukul guru di tadika berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati pada hari kejadian, mangsa membuang air besar dalam seluar dan apabila guru menyuruh mangsa ke bilik air, mangsa berkeras dan enggan bangun dari kerusi.

"Ketika itu, guru tadika itu bertindak memukul mangsa di bahagian pipi dan hasil pemeriksaan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mendapati mangsa mengalami kecederaan 'soft tissue' di bahagian pipi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, pegawai penyiasat sudah melengkapkan kertas siasatan dan sudah mendapat arahan tuduh yang mana guru wanita itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Klang, esok mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Cha turut menafikan pihaknya melengahkan proses penyiasatan dan pengumpulan bahan bukti bagi kes berkenaan seperti yang dilaporkan sebuah portal berita dalam talian.

"Dalam siasatan polis, masa diperlukan untuk melengkapkan semua keterangan dan menganalisa barang bukti yang diperolehi.

"Selain itu, jika kes membabitkan kanak-kanak, maka kanak-kanak itu perlu melalui proses rakaman percakapan Child Interview Center (CIC) mengikut temujanji yang ditetapkan.

"Tindakan ini perlu sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 4:01 PM