ANTARA barangan dirampas dalam operasi bersepadu Jumaat lalu. FOTO Ihsan MCBA.
ANTARA barangan dirampas dalam operasi bersepadu Jumaat lalu. FOTO Ihsan MCBA.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuching: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) menahan 13 lelaki dan merampas minuman keras tidak bercukai bernilai RM3,125,000 dalam satu operasi bersepadu Jumaat lalu.

MCBA berkata, serbuan yang dijalankan pada jam 4.45 pagi di sebuah stor tidak bernama di Jalan Joon Onn, Kota Samarahan di sini itu dilakukan anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dan MCBA.

Menurutnya, mereka gagal mengemukakan dokumen yang sah berkaitan barangan kawalan disimpan.

"Pemeriksaan di stor berkenaan menemukan 2,000 karton minuman keras jenama Camel, 50 karton minuman keras jenama Dexter, sebuah lori muatan 10 tan dan enam buah lori jenis berbon yang membawa muatan berkaitan.

"Semua individu ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu berkaitan melindungi, menyimpan atau mempunyai barang larangan.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 4:48 PM