FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Aizat Sharif

Kangar: Ancaman aktiviti penyeludupan diesel dilihat masih wujud meskipun penyasaran subsidi diesel dilaksanakan sejak semalam.

Justeru, polis Perlis terus mempergiatkan pemantauan pergerakan sindiket itu terutama di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, meskipun kerajaan mengapungkan harga diesel, ancaman kepada penyeludupan bahan api itu ke negara jiran dijangka terus berlaku.

"Walaupun harga apungan diesel itu kini seakan sama nilainya dengan harga jualan di negara jiran, kita tidak boleh menidakkan aktiviti seludup ini masih terus beroperasi.

"Malah, meskipun 'margin' keuntungan semakin mengecil, namun keuntungan itu tetap ada.

"Maka kita (polis) berasa selepas ini sindiket penyeludupan diesel dan petrol ini akan menyeludup bahan api ini dalam bentuk atau jumlah yang besar," katanya,

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Secara Tanpa Istiadat Kontinjen Polis Perlis Tahun 2024, di sini, hari ini.

Seramai 84 penerima terdiri daripada bekas anggota polis, wakil dan waris kepada anggota yang pernah berkhidmat ketika zaman darurat dan konfrontasi diraikan pada majlis itu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin.

Muhammad berkata, pihaknya tidak akan 'duduk diam' dan sentiasa mempergiatkan operasi dalam pembanterasan penyeludupan diesel dan petrol ke negara jiran.

Katanya, kolaborasi ini akan dilakukan bersama agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis.

"Operasi yang dilaksanakan juga tidak hanya bertumpu di kawasan darat, tetapi juga di laut.

"Kita tidak mahu komoditi ini diambil kesempatan oleh sindiket dengan menyeludupnya bagi digunakan di negara jiran pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 4:44 PM