ANTHONY Loke (kanan) melawat reruai selepas merasmikan 57th Asean Senior Transport Offical Meeting (STOM), hari ini. FOTO Mikail Ong
ANTHONY Loke (kanan) melawat reruai selepas merasmikan 57th Asean Senior Transport Offical Meeting (STOM), hari ini. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kementerian Pengangkutan menyifatkan kenaikan tambang bas sekolah tidak seharusnya berlaku memandangkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 bagi kenderaan pengangkutan awam darat kekal pada harga RM1.88 seliter.

Menterinya, Anthony Loke menegaskan ketetapan itu juga terpakai kepada pengusaha bas ekspres yang tidak boleh sesuka hati menaikkan kadar tambang memandangkan tindakan itu memerlukan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Ini tidak sepatutnya berlaku (kerana) subsidi diesel ini terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah, mereka tak ada kesan daripada segi kenaikan harga diesel sebab sudah sedia menerima subsidi dan tidak ada perubahan daripada segi itu.

"Jadi apa yang mendorong mereka hendak menaikkan harga kalau soal ini (kenaikan diesel) digunakan alasan untuk menaikkan harga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri menghadiri Mesyuarat Pegawai-Pegawai Pengangkutan ASEAN ke-57 di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan tidak mengawal kadar tambang bas sekolah dan pengusaha seharusnya mengadakan perbincangan bersama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan kementerian bersedia membantu bagi meringankan beban pihak terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata, kos pelancongan di negara ini cukup kompetitif dengan kerajaan tidak menyediakan subsidi untuk perkhidmatan bas persiaran memandangkan ia membabitkan sektor swasta.

"Kita kena faham kalau bas persiaran tujuannya pelancongan (dan) ini untuk pelancong asing, bukan untuk kegunaan harian... jadi ini kita tak (beri) subsidi untuk sektor pelancongan.

"Kos pelancongan di negara kita ini memang cukup kompetitif jadi mungkin ada kesan sedikit daripada segi perniagaan... (peningkatan) kos untuk pelancong asing itu saya rasa boleh diterima sebab dia untuk pelancong asing," katanya.

Sebelum ini, ada ura-ura mengenai kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran selepas pengumuman kenaikan harga diesel di Semenanjung daripada RM2.15 seliter kepada RM3.35 berkuat kuasa semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 4:33 PM