FOTO hiasan
FOTO hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kaji selidik Pusat Penyelidikan Pendidikan dan Kesejahteraan Kewangan (FEWRC) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati seorang daripada 10 warga emas di negara ini menjadi mangsa penderaan dan penganiayaan kewangan.

Ketua Penyelidik FEWRC AKPK, Mohammad Mafrukhin Mokhtar berkata, penganiayaan dan penderaan kewangan adalah subjenis EAN yang tertinggi iaitu 4.8 peratus diikuti oleh psikologi, fizikal, pengabaian dan seksual.

Menurutnya, lebih membimbangkan penderaan kewangan seperti anak menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWS) ibu bapa untuk beli rumah, anak guna wang pencen ibu bapa dan menukar nama pemilik geran tanah atau rumah pusaka adalah yang paling lazim berlaku selain penderaan psikologi.

"Kami menjalankan kajian di Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang menjadi lokasi mempunyai warga emas paling ramai di negara ini dan ia membabitkan 1,927 warga emas berusia antara 60 tahun ke atas.

"Hasil dapatan itu mendapati satu daripada 10 warga emas adalah mangsa penderaan dan penganiayaan kewangan dan kaum lelaki paling ramai iaitu 11 peratus dan mereka yang berusia antara 70 tahun dan ke atas," katanya ditemui pada kunjungan FEWRC AKPK di Balai Berita Bangsar di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, M Thillinadan dan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad

Menurut Mohammad Mafrukhin, warga emas daripada kumpulan pendapatan isi rumah bulanan terendah iaitu di bawah RM500 sebulan ialah kumpulan yang paling terdedah dan mereka yang tinggal bersendirian iaitu 17.8 peratus lebih berkemungkinan mengalami penderaan kewangan berbanding dengan mereka yang tinggal bersama suami, isteri atau anak.

"Kajian juga mendapati risiko penderaan kewangan meningkat dengan usia mangsa. Kumpulan umur lebih muda (60 hingga 69 tahun) didapati kurang berisiko berbanding dengan umur lebih tua (70 tahun atau lebih)," katanya.

Bagaimanapun katanya, masih ada golongan berkenaan tidak membuat laporan kepada pihak berkaitan apabila menjadi mangsa atas beberapa faktor termasuk pelaku penderaan membabitkan ahli keluarga mereka.

"Sejumlah 57 peratus membabitkan ahli keluarga, 25 peratus pula menafikan diri mereka dianiaya, manakala 16 peratus mengakui tidak tahu mendapatkan bantuan di mana dan dua peratus lagi malu untuk tampil ke depan," katanya.

Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada warga emas terutama dalam memberi kesedaran kepada golongan supaya tidak malu menceritakan atau membuat aduan jika mereka dianiaya kewangan.

"Pemegang taruh seperti AKPK juga sedang bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi membincangkan akta untuk meningkatkan perlindungan ke atas warga emas dan konteks penganiayaan dan penderaan kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 4:02 PM