TANGKAP layar video  Nurbaiti yang menetap di resort. FOTO ihsan Nurbaiti Mohd Zin
TANGKAP layar video Nurbaiti yang menetap di resort. FOTO ihsan Nurbaiti Mohd Zin
Redzuan Muharam

Gerik: "Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu sangat mencabar hingga saya pernah berdoa supaya Allah SWT letakkan saya di tengah hutan.

"Mungkin Allah SWT makbulkan doa saya itu apabila takdirkan saya tinggal betul-betul di tengah hutan yang tenang dan jauh daripada hiruk pikuk kota," kata ibu kepada tiga anak, Nurbaiti Mohd Zin atau mesra disapa Nur yang tinggal di sebuah resort di sini, sejak dua tahun lalu.

Kisah Nur, 45, mendapat perhatian selepas berkongsi satu video menunjukkan rutin dilakukan selepas 551 hari berada di resort terbabit.

Menurut Nur, perkongsiannya di platform itu bukan untuk menunjuk tetapi sekadar mahu berkongsi realiti kehidupannya sebagai isteri dan ibu yang tinggal dalam sebuah resort di tengah hutan dekat sini.

Tanpa disangka, ramai tertarik untuk tahu lebih lanjut mengenai kehidupannya hingga dia terpanggil untuk berkongsi lebih banyak video mengenai aktiviti dilakukan dan panorama sekitar resort.

"Video kemas bilik yang dapat perhatian dirakam untuk suka-suka saja sebenarnya, tak ada beria-ia pun.

"Tapi bertitik-tolak daripada situ, ramai mahu tahu bagaimana rasanya hidup dalam resort jadi saya pun kongsi apa yang boleh diceritakan.

"Sebenarnya, saya tinggal di resort kerana mengikut suami yang menjadi pengurus besar dan akui memang indah kehidupan di sini (resort).

"Bagaimanapun, itu apa yang orang nampak kerana hakikatnya, saya dan suami berjauhan dengan dua lagi anak kami yang tinggal di Shah Alam, Selangor dan itulah pengorbanan perlu dilakukan untuk berada di sini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan rutin hariannya, Nur berkata, setiap pagi dia akan menghantar anaknya bongsunya yang berusia tujuh tahun ke sekolah.

Katanya, jarak dari resort itu ke sekolah adalah 33 kilometer (km) sehala iaitu kira-kira 25 minit tempoh memandu.

"Itulah rutin saya pada hari persekolahan dan sebaik pulang, saya akan pergi sarapan kemudiannya berjalan-jalan sekitar resort.

"Sementara tunggu waktu ambil anak pulang dari sekolah, saya akan kemas bilik dan biasa lakukannya sendiri kerana tak nak susahkan serta buang masa kakitangan resort walaupun boleh minta bantuan mereka.

"Lagipun, saya sukakan privasi jadi lebih selesa begitu cuma biasalah kawasan resort ini di tengah hutan jadi tak macam di bandar yang dekat dengan kemudahan seperti kedai dan pusat beli-belah.

"Jadi, suka atau tidak kena berkorban dan setakat ini saya okay saja, malah lebih tenang kerana saya sukakan alam semula jadi...dalam usia begini saya sudah malas layan karenah manusia," katanya.

Nur berkata, selagi berada di situ, dia mahu menikmati sepuasnya ketenangan yang sudah pasti tidak dapat dirasai sepenuhnya jika tinggal di bandar.

"Suami saya dijangka bekerja di sini untuk tiga tahun lagi jadi selagi dia di sini, saya akan menemaninya kerana sudah sepakat tinggal bersama untuk membesarkan anak yang bongsu.

"Jadi sepanjang ada di sini, saya rancang nak kongsi lagi apa yang menarik di resort apabila ada kelapangan.

"Ia kerana saya nak mereka tahu betapa indahnya pemandangan di sini, malah banyak aktiviti menarik boleh dilakukan.

"Ada ketika timbul rasa serba salah juga nak kongsi mengenangkan saya hidup selesa tapi orang kurang berkemampuan hanya mampu tengok saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 3:48 PM