Penduduk Palestin berjalan berhampiran rumah yang musnah dalam serangan tentera Israel, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, 30 Mei 2024. FOTO REUTERS/Ramadan Abed
Penduduk Palestin berjalan berhampiran rumah yang musnah dalam serangan tentera Israel, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, 30 Mei 2024. FOTO REUTERS/Ramadan Abed
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengutamakan keperluan dan hak wanita serta gadis Palestin selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam kenyataan hari ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia itu memaklumkan resolusi itu antara lain menuntut gencatan senjata dan akses bagi bantuan kemanusiaan.

Selain itu, WAO menyeru sokongan secara aktif bagi menamatkan pencerobohan ke atas negara Palestin sekali gus menangani punca utama penderitaan mereka.

"Kita perlu memastikan bahawa suara wanita Palestin didengari, hak mereka dipertahankan dan penderitaan mereka ditangani," menurut kenyataan itu.

Menurut WAO hak asasi manusia adalah asas bagi semua orang termasuk pelarian wanita dan kanak-kanak serta individu yang diusir dari tanah air mereka, mesti dilindungi dan dipertahankan.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, serangan rejim Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 36,242 rakyat Palestin dan 81,777 orang cedera.

Menurut WAO dengan ketiadaan tempat untuk melarikan diri daripada pengeboman dan keganasan tanpa henti, lebih daripada 10,000 wanita termasuk 6,000 ibu terbunuh seterusnya menyebabkan 19,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu.

Pada 5 Mac lalu, data Wanita PBB menunjukkan lebih separuh (51 peratus) wanita yang disurvei didapati mengalami masalah perubatan yang memerlukan perhatian segera tetapi 62 peratus daripada mereka tidak mampu untuk mendapatkan rawatan diperlukan.

Sementara itu, lebih 60 peratus wanita hamil di Gaza dilaporkan mengalami komplikasi termasuk 95 peratus membabitkan jangkitan saluran kencing, anemia (80 peratus), kelahiran pramatang (30 peratus) dan hipertensi (50 peratus).

"Ibu yang menyusukan bayi berdepan cabaran besar dalam penyusuan dan memenuhi keperluan nutrisi bayi mereka," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 12:54 AM