Ahmad Maslan ketika sidang media di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ahmad Maslan ketika sidang media di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Perpaduan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan ramuan mengekalkan Johor sebagai negeri deposit tetap gabungan itu menjadi intipati utama Konvensyen BN Johor, 8 Jun ini.

Timbalan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Johor menjadi negeri pertama menganjurkan Konvensyen BN Negeri yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA), di sini, bermula jam 1 tengah hari.

Katanya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dijangka hadir bagi merasmikan dan bersama-sama mengikuti konvensyen itu.

"Agenda utama Konvensyen BN Johor Sabtu minggu hadapan adalah bagi membincangkan mengenai perpaduan sesama kita MIC, MCA dan Umno selain Friends of BN.

"Kita juga akan bincangkan bagaimana nak kekalkan kemenangan 40 daripada 56 kerusi yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dan merampas empat kerusi pembangkang.

"Konvensyen BN Johor akan sentuh isu pengundi muda, pendidikan serta ekonomi selain wakil MIC, MCA dan Umno Johor diberi ruang membentangkan suara hati mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Umno Johor sebagai persiapan penganjuran Konvensyen BN Johor.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor berkata, penyerahan resolusi Konvensyen BN Johor juga akan diserahkan kepada kepimpinan utama parti, Sabtu itu.

"Penyerahan watikah lantikan untuk Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN untuk 26 bahagian Johor juga akan dilaksanakan Sabtu ini.

"Kita jangkakan 1,000 ahli dan pemimpin BN termasuk Friends of BN akan hadir konvensyen yang bertemakan Melayari bahtera perjuangan, menakhoda negara bangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 4:10 PM