Antara nelayan Vietnam yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan Ahad lalu. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Antara nelayan Vietnam yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan Ahad lalu. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Hidayatidayu Razali

Pasir Puteh: Tindakan 21 nelayan Vietnam yang cuba melarikan diri ke sempadan negara tidak berjaya apabila mereka ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan pada Ahad lalu.

Kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 67 tahun menaiki dua bot ditahan antara 10 pagi hingga 10.30 pagi di kedudukan lebih kurang 130 sehingga 140 batu nautika dari muara Tok Bali di sini, menerusi Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, keseluruhan hasil tangkapan dianggarkan seberat 7,000 kilogram.

Menurutnya, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM3.3 juta termasuk dua bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel sebanyak 2,500 liter.

"Ketika operasi, dua bot itu pada awalnya tidak memberikan kerjasama ketika diarahkan untuk berhenti, namun cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara.

"Kapal ronda seterusnya bertindak memintas bot dan melakukan force boarding untuk menghentikan bot berkenaan.

"Selepas pegawai dan anggota penguat kuasa berjaya menaiki bot, suspek akhirnya mengalah dan akur untuk memberikan kerjasama.

"Pemeriksaan ke atas bot pertama mempunyai 17 kru termasuk tekong, manakala bot kedua mempunyai empat kru termasuk tekong," katanya pada sidang media di pejabat APMM Malaysia Kelantan di Tok Bali di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Menurutnya, dua tekong disyaki melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel untuk memasuki perairan perikanan Malaysia.

"Kesemua kru disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985, bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia," katanya.

Menurutnya, bagi kes di bawah imigresen, tekong dan kru boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

"Proses membawa balik bot tahanan mengambil masa hampir 40 jam sebelum tiba di Jeti APMM pada 7 petang Isnin lalu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 3:32 PM