Noryani Tamadun
Noryani Tamadun
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Keluarga kepada mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak bulan lalu, berlapang dada menerima laporan awal siasatan yang dikeluarkan lembaga siasatan hari ini.

Noryani Tamadun, 50, berkata keluarganya akur dengan laporan siasatan berkenaan selepas membaca laporan itu sebentar tadi.

Katanya, sebagai kakak sulung kepada Allahyarham Pegawai Waran II Muhammad Faisol, 36, dia menerima ketentuan qada dan qadar yang sudah tertulis untuk adik bongsunya itu.

"Kami sekeluarga menerima keputusan laporan siasatan punca nahas helikopter hari ini, segalanya sudah berlaku.. kami reda.

"Saya harap keluarga mangsa yang lain pun dapat menerima dengan baik dan bersabar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Laporan akhir Lembaga Siasatan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut pada 23 April lalu, merumuskan bahawa salah satu pesawat tidak berada pada haluan yang ditetapkan.

Selain itu Lembaga Siasatan turut mendapati pesawat AS 555 SN Fennec tidak berada pada ketinggian ditetapkan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, berkata dapatan itu diperoleh selepas semakan rakaman video berdurasi 7 saat kedudukan tujuh helikopter yang terbabit dalam raptai Hari Ulangtahun TLDM ke-90.

Laporan yang dikeluarkan hari ini selari dengan laporan awal yang dikeluarkan sebelum ini yang menyatakan kesemua kru yang terbabit dalam insiden itu berada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat (fit to fly) dan tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terbabit juga masih sah dan tidak tamat tempoh, selain selamat untuk terbang.

Noryani berkata keluarganya kini dalam proses untuk melaksanakan badal haji untuk Allahyarham.

Bagaimanapun perkara itu memerlukan perbincangan lanjut dengan balu Allahyarham.

"Kami sudah pasang batu nisan di kubur arwah selepas dua minggu dia disemadikan, saya difahamkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menyumbang untuk memasang kepok di kubur Allahyarham," katanya.

Ketika ditanya keadaan balu Allahyarham, Nor Yani berkata adik iparnya itu masih dalam sedih dan belum bersedia untuk berjumpa dengan media.

"Sebelum ini ada media mahu menemuramah balu Allahyarham, tapi dia belum bersedia dan masih bersedih, jadi dia menolaknya dengan baik.

"Dia minta kru itu datang dan temuramah saya, saya faham keadaan adik ipar saya, saya pun bercadang untuk berjumpa dengan dia dan anak-anak selepas ini sekiranya berkesempatan," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan berusia enam dan 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 3:28 PM