NAHAS helikopter di TLDM Lumut yang mengorbankan 10 nyawa.
NAHAS helikopter di TLDM Lumut yang mengorbankan 10 nyawa.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff menyatakan, disiplin penerbangan formasi berkemungkinan tidak dipatuhi selepas rumusan laporan akhir lembaga siasatan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada 23 April lalu mendapati, satu daripada helikopter berkenaan tidak berada pada ketinggian dan haluan ditetapkan.

"Dalam penerbangan formasi, disiplin penerbangan adalah penting. Contoh, tetapan stesen (station holding) dan tetapan susunan mengikut taklimat serta arahan ketua formasi.

"Sekiranya lembaga siasatan membuat rumusan sebegitu, ini bermakna disiplin penerbangan formasi tersebut tidak dipatuhi," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, dalam rumusan siasatan nahas helikopter berkenaan yang dikeluarkan hari ini, lembaga siasatan mendapati, faktor utama kejadian ialah, sebuah daripada helikopter berkenaan tidak berada pada ketinggian dan haluan ditetapkan.

Malah, helikopter Fennec terbabit dikatakan memasuki laluan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 yang turut menjadi punca utama nahas berkenaan yang mengorbankan 10 nyawa.

Mengulas lanjut, Abdul Rahmat berkata, disiplin penerbangan perlu dikekalkan walaupun juruterbang sudah biasa melakukan penerbangan formasi.

Selain itu, katanya, taklimat penerbangan juga perlu memberi penekanan terhadap pengasingan, langkah pecah formasi dan kecemasan semasa penerbangan.

Sementara itu, Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian pula berkata, secara lazimnya, pasukan akan menggariskan trajektori penerbangan apabila 'paralell flying' atau 'tandem flying' dilakukan.

"Setiap pesawat dikehendaki mengikut trajektori untuk mengelakkan pelanggaran.

"Trajektori ini biasanya diwujudkan mengikut protokol atau piawaian tertentu yang membabitkan faktor seperti altitud, sudut lencongan, dongakan pesawat, pergerakan longitudinal dan lateral, kelajuan pesawat dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, parameter ini selalunya akan diterangkan kepada kru supaya mereka tidak tersilap langkah semasa penerbangan.

"Walaupun sedikit sahaja tersasar daripada nilai nominal parameter itu, kesannya amat mendalam iaitu akan berlaku perlanggaran.

"Contoh, jika sudut penerbangan tersasar sedikit tetapi disebabkan kumulatif sudut kesilapan atau 'cumulative flight angle error', ia akan menyebabkan trajektori penerbangan tersasar secara komprehensif seterusnya menyebabkan malapetaka," katanya.

Mohd Harridon berkata, antara perkara lain yang perlu ditekankan ialah julat reaksi kru penerbangan yang pantas bagi menghasilkan reaksi atau aksi spontan bagi mengelakkan malapetaka.

Beliau turut memberi contoh, di beberapa organisasi penerbangan dan negara, secara holistik, mereka melatih kru penerbangan dan juruterbang mereka dalam modul julat reaksi ini.

"Reaksi kru dan juruterbang ini telah diukur dan dianalisa menggunakan model matematik 'Ex-Gaussian'. Hasil daripada latihan, reaksi kru penerbangan dan juruterbang mereka menjadi optimum dan ini membantu mereka untuk mengelakkan tragedi penerbangan.

"Malah, saya juga terbabit dalam pengiraaan dan analisa data julat reaksi menggunakan model matematik Ex-Gaussian dan hasilnya amat memberangsangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 3:24 PM