Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersalaman dengan Li Qiang ketika mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Perdana Menteri China itu di Diaoyutai State Guesthouse hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersalaman dengan Li Qiang ketika mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Perdana Menteri China itu di Diaoyutai State Guesthouse hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tahun 2024 menandakan sambutan jubli emas bagi hubungan diplomatik Malaysia-China – ikatan yang akan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Perdana Menteri China Li Qiang yang dijangka melawat Malaysia sempena meraikan sambutan terbabit.

Kedua-dua negara sudah menjalin hubungan dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam infrastruktur dan teknologi kereta api, sektor automotif, pembuatan, perdagangan dan teknologi kewangan (fintech).

Antara projek yang paling penting adalah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia atau menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang melalui rangkaian rel meluas yang bakal membuka kawasan pertumbuhan dan pembangunan baharu.

Kerjasama lain termasuk perkongsian strategik antara jenama kereta nasional pertama Malaysia, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd dari China, yang mana syarikat gergasi automotif dari China itu membeli 49.9 peratus kepentingan dalam Proton daripada DRB-Hicom Bhd dengan harga RM460 juta pada Jun 2017 untuk memulihkan semula prestasi Proton.

Perkongsian itu membuahkan hasil apabila Proton mencapai pertumbuhan jualan tahun kelima berturut-turut pada 2023 dengan 154,611 unit terjual, prestasi paling kukuhnya sejak 2012.

Tiga daripada model SUV Proton – Proton X50, Proton X70 dan Proton X90 – kini menjadi model popular yang mencatatkan jualan lebih 200,000 unit sejak Disember 2018.

Ini jelas mencerminkan hubungan yang terjalin sejak 1974 itu sudah berkembang menjadi semangat keakraban yang mendalam, hasil daripada wawasan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak dan rakan sejawatannya dari China, Perdana Menteri Zhou Enlai, yang berkongsi usaha bersama untuk menambah baik negara masing-masing demi kebaikan bersama.

Memperkukuh pembabitan dalam bidang baharu bagi perkasa hubungan

Perkembangan di pasaran antarabangsa memerlukan usaha bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang baharu seperti peralihan tenaga, elektronik berteknologi tinggi, 5G, kecerdasan buatan (AI), pelaburan hijau, kemajuan kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh baharu (TBB), pertanian pintar serta industri penjagaan kesihatan yang penting dalam usaha memperkasa hubungan sedia ada.

Bertitik tolak daripada perjanjian yang dimeterai pada 31 Mei 1974, turut menjadi satu catatan sejarah kerana menjadikan Malaysia sebagai negara pertama Asean menjalin hubungan diplomatik dengan China sebelum Beijing memulakan dasar pembaharuan pada 1978.

Pastinya ini menjadi kejayaan bermakna bagi Malaysia, apalagi yang pertama untuk mana-mana negara Asia Tenggara dengan bertindak menjalin hubungan dengan China yang ketika itu sebahagian besarnya terasing daripada masyarakat antarabangsa.

Selain membuka mata ramai, tindakan itu turut menjadi permulaan bagi hubungan yang membuahkan hasil dan menyaksikan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.

Jika diamati, hubungan mesra dengan kuasa besar Asia membawa manfaat dengan hubungan perdagangan dua hala mencecah RM450.84 bilion – lonjakan lebih 481 kali berbanding angka dagangan yang hanya kurang US$200 juta (kira-kira RM937 juta) pada 1974.

Malah, kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 juga tidak menjejaskan hubungan itu apabila perdagangan dua hala mencecah paras tertinggi iaitu US$203.6 bilion pada 2022, sekali gus jelas membuktikan daya tahan dan dinamisme kerjasama Malaysia dengan China yang berstatus ekonomi kedua terbesar dunia.

Hubungan dagangan diunjur berkembang pada trajektori positif

Prospek hubungan Malaysia-China juga dijangka terus mekar sebagaimana dikongsi oleh Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) Tan Sri Goh Tian Chuan.

"Hubungan dagangan dua hala ini akan terus berkembang pada trajektori positif," katanya yang berkongsi keyakinan itu kepada Bernama.

Goh berkata, kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China sebanyak dua kali pada tahun lalu, dijangka memacu pertumbuhan ekonomi dan dagangan Malaysia, berikutan pemeteraian 21 memorandum persefahaman (MOU) untuk anggaran pelaburan bernilai hampir RM190 bilion.

"Ditambah dengan projek seperti Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim bagi pembangunan dan pemasangan kenderaan elektrik (EV), projek ECRL yang sedang dijalankan, serta projek taman perindustrian berkembar - Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKPI) di Pahang dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) – pastinya menjanjikan pemulihan ekonomi Malaysia selepas pandemik," katanya.

Lawatan rasmi pertama Anwar ke China sebagai Perdana Menteri pada April 2023 menyaksikan Malaysia memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari China daripada 19 MOU yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia dalam pelbagai bidang, terutamanya teknologi hijau dan ekonomi digital.

Menerusi lawatan keduanya ke Nanning pada September 2023, Anwar menyaksikan pertukaran tiga MOU bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China, termasuk perjanjian antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group yang berpotensi mempunyai nilai eksport sebanyak RM2.5 bilion.

Perjanjian antara Sime Darby-GuangXi Beibu itu akan menyaksikan China menggandakan import minyak sawit ditapis Malaysia kepada 500,000 tan setahun berbanding 250,000 tan ketika ini.

Melangkah ke hadapan – kerjasama dalam sektor baharu

Jelas dilihat bahawa Malaysia dan China akan terus mengutamakan perkongsian ekonomi untuk kemakmuran bersama.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Tan Sri Low Kian Chuan berkata, Malaysia sudah pasti akan terus mengutamakan perkongsian yang stabil dan berkekalan dengan China bagi mencapai matlamat tersebut.

"Ini terutamanya selepas Malaysia serta China menandatangani Protokol Pertama untuk meminda Perjanjian Memperluas dan Memperdalam Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan pada April 2023 semasa lawatan rasmi pertama Anwar ke China, yang mana perjanjian itu akan meletakkan asas dasar bagi kerjasama lanjut antara kedua-dua negara," katanya.

Malaysia perlu sentiasa membabitkan China dalam perdagangan, pelaburan, pembinaan kesalinghubungan, integrasi serantau, kerjasama keselamatan, selain kedua-dua negara boleh memperdalam penglibatan dan pertukaran yang membina termasuk usaha ekonomi serta diplomatik untuk mendapat manfaat daripada kemajuan dan pembangunan baharu pada masa hadapan.

"Malaysia sedang berada di landasan transformasi ekonomi serta perindustrian seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, yang membentangkan jalan yang menjanjikan untuk kerjasama serta pelaburan masa depan dalam sektor elektronik berteknologi tinggi, 5G, kecerdasan buatan, pelaburan hijau, EV, tenaga boleh baharu; pertanian pintar dan industri penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau menyatakan, kedua-dua negara sewajarnya terus mempertingkatkan pertukaran budaya serta program pendidikan untuk meningkatkan persefahaman, khususnya dalam kalangan belia bagi mengembangkan persahabatan dan peluang antara generasi di Malaysia termasuk menggalakkan pengukuhan antara masyarakat China-Malaysia untuk masa depan bersama.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Malaya Dr Goh Lim Thye berkata, pertukaran pendidikan serta kebudayaan, di samping pelancongan, boleh berfungsi sebagai jambatan tambahan yang akan memupuk persefahaman dan saling menghormati.

Secara keseluruhan, beliau menyimpulkan bahawa Malaysia sudah memperoleh peluang sejak 50 tahun lalu untuk mengukuhkan hubungan ekonomi serta kebudayaan dengan China, yang berpotensi membawa kepada faedah jangka panjang bagi kedua-dua negara dari segi pertumbuhan ekonomi, pertukaran budaya dan kerjasama antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 2:46 PM