Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama jemaah menteri, hari ini, mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak yang meraikannya.

Ahmad Zahid menerusi kenyataan di Facebook berkata, perayaan berkenaan adalah simbol kepelbagaian budaya yang menjadi aset penting bagi Malaysia serta melambangkan kesyukuran dan penghargaan kepada hasil tuaian.

Beliau berkata, sebagai negara berbilang kaum serta terkenal dengan keharmonian dan toleransi antara masyarakatnya, kegembiraan menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dikongsi tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.

"Ia mengingatkan kita tentang pentingnya mempertahankan, menghargai kepelbagaian ini serta mengukuhkan jalinan persaudaraan antara kita, semoga perayaan tahun ini membawa kegembiraan, kesyukuran dan perpaduan yang lebih erat.

"Marilah kita terus bersatu hati dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara kita yang tercinta ini," katanya.

Fadillah pula mengajak semua untuk meraikan Pesta Kaamatan dengan penuh kegembiraan, mengeratkan lagi silaturahim sambil mengabadikan nilai dan adat turun temurun, menyatakan kesyukuran di atas rezeki serta hasil tuaian yang baik.

"Moga semangat meraikan semua perayaan dalam kepelbagaian di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini juga akan memperkukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

"Semoga tuaian padi pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang akan terus bertambah melimpah, membawa bersamanya kebaikan dan kemakmuran kepada semua, Kaamatan, melangkaui keterjaminan makanan," katanya di Facebook.

Tidak ketinggalan memberikan ucapan menerusi platform sama ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang berharap sambutan berkenaan akan memperkukuh semangat kebersamaan dan persaudaraan, serta memelihara perpaduan dan keharmonian sedia terjalin.

Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang pula mengajak seluruh masyarakat untuk menyambut perayaan Hari Gawai dan Kaamatan sebagai tanda menghargai setiap kumpulan etnik di negara ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying menzahirkan harapan supaya sambutan pesta berkenaan dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, rakan-rakan dan masyarakat dari pelbagai latar belakang.

Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai disambut masyarakat Kadazandusun di Sabah hari ini, dan esok manakala Hari Gawai disambut Sabtu dan Ahad ini oleh masyarakat Dayak di Sarawak, kedua-duanya sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.

Menteri Digital Gobind Singh Deo pula mengharapkan semoga perayaan itu kali ini sarat dengan keamanan, kegembiraan dan kesejahteraan bersama keluarga dan sahabat handai.

"Bagi yang menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, semoga ia disambut dengan penuh ceria dan kemeriahan.

"Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan & Gayu Guru Gerai Nyamai. Selamat Hari Gawai dan semoga sambutan ini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan membawa kebahagiaan, keamanan, dan tuah untuk semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 1:44 PM