Tiga kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk seorang pegawai kanan didakwa atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
Tiga kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk seorang pegawai kanan didakwa atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang pegawai dan dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan rasuah dengan melepaskan lori barang tanpa pemeriksaan dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula tahun 2017.

Mohd Nasrizal Othman, 37; Mazuki A Kadir, 54 dan Ahmad Samirruddin Muhammad Japri, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mohd Nasrizal didakwa dengan lima pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM1,150 antara 25 Januari 2017 hingga 1 Jun 2019 manakala Mazuki didakwa dengan 10 pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM2,900 antara 19 April 2018 dan 4 April 2023.

Ahmad Samirruddin pula didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM4,550 antara 31 Mei 2017 hingga 2 April 2019.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan sebuah bank di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 serta Bandar Baru Salak Tinggi.

Mereka didakwa secara rasuah memperoleh suapan daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun, melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu, yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd 'Afif Ali dan Maziah Mohaide manakala peguam Muhammad Aizat Fakri mewakili Mohd Nasrizal dan Mazuki sementara Ahmad Samirruddin diwakili peguam Adhwa' Afiqah Mohd Azmi.

Mahkamah membenarkan Mohd Nasrizal dijamin dengan RM8,000 manakala Mazuki dan Ahmad Samirruddin masing-masing dijamin dengan RM10,000.

Kesemua tertuduh turut diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain keempat-empat mereka perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya setiap awal bulan.

Kesemua tertuduh juga tidak dibenarkan berhubung atau mengganggu saksi pendakwaan serta tidak dibenarkan mengakses data JKDM berkait dengan tugas mereka sebelum ini sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes bagi Mohd Nasrizal dan Mazuki ditetapkan pada 25 Julai manakala Ahmad Samirruddin ditetapkan pada 11 Julai depan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota kastam akan didakwa di enam mahkamah sesyen seluruh negara sehingga 6 Jun depan selepas ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Operasi yang bermula pada 11 hingga 25 Mac itu, menumpukan siasatan ke atas mereka yang bertugas di kargo KLIA dan berjaya mengesan ketirisan hasil cukai berjumlah RM2 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 1:34 PM