Hamiah (kiri) dan anaknya, Sofiah yang menghidap kanser payu dara menunjukkan tudung saji yang dihasilkan mereka untuk jualan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Hamiah (kiri) dan anaknya, Sofiah yang menghidap kanser payu dara menunjukkan tudung saji yang dihasilkan mereka untuk jualan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Nerang: Walaupun usianya sudah menjangkau 90 tahun namun Sofiah Hamiah Abdul Latif masih mampu menghasilkan tudung saji hiasan untuk dijual bagi menampung kehidupan harian.

Selain itu, ada ketikanya dia turut dibantu anaknya, Sofiah Lebai Ariffin, 49 yang menghidap kanser payu dara tahap tiga menghasilkan tudung saji yang ditempah pelanggan untuk membantu kos rawatannya di hospital.

Hamiah berkata, pada mulanya dia menghasilkan tudung saji pelbagai corak menggunakan riben itu hanya sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang yang ada.

"Mulanya makcik buat tudung saji ini untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga yang datang melawat tetapi disebabkan ia boleh dijual, makcik gagahkan diri membuatnya.

"Makcik susun riben mengikut corak tempahan pelanggan dan setiap satu tudung saji dijual pada harga antara RM45 hingga RM60 satu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Musa, Jalan Pedu, hari ini.

Hamiah berkata, hasil jualan menjual tudung saji itu disimpan untuk menyara kehidupannya manakala sebahagian lagi diberi kepada anaknya.

Katanya, dia bersyukur kerana walaupun sudah di penghujung usia namun penglihatan matanya masih baik.

"Nak siapkan satu tudung saji ini bukannya mudah, kena buat dengan teliti sebab nak bagi kemas dan tahan lama serta tidak mudah rosak.

Sementara itu, anaknya, Sofiah berkata, dia disahkan menghidap kanser payu dara tahun lalu dan tidak mempunyai pendapatan kerana tidak bekerja.

Beliau berkata, dia hanya mengharapkan suaminya, Mohd Ridzuan Asfani Saad, 52, yang hanya berniaga kecil-kecilan untuk kehidupan mereka.

"Saya menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan menggunakan wang yang simpanan yang ada untuk ke hospital kerana jarak jauh.

"Disebabkan itulah saya bantu emak siapkan tudung saji untuk dijual dan wang yang dapat itulah digunakan untuk menampung kos ulang alik ke hospital," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu mereka boleh menghubungi Sofiah Cancer Survivors Malaysia (CSM)

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, dia terharu dengan hiasan tudung saji yang dihasilkan dua beranak itu kerana mereka berusaha mencari wang walaupun usia makcik Hamiah sudah lanjut.

Katanya, CSM sentiasa memberi sokongan kepada pesakitnya untuk melakukan apa juga yang mereka mampu buat asalkan dapat sumber kewangan selain membuat rawatan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 1:06 PM