GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuantan: Kementerian Sumber Manusia meluluskan 75 permohonan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Zon Timur bernilai lebih RM530,000, setakat ini.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, di Pahang sebanyak 36 permohonan diluluskan bernilai RM232,275, manakala di Kelantan 25 permohonan diterima (RM202,800) dan Terengganu sebanyak 14 permohonan diluluskan (RM97,200).

Majlis Penyerahan PHEKS 2024 Peringkat Zon Timur disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, di sini, hari ini.

PHEKS adalah bantuan kewangan yang dibayar secara sekali beri (one-off) kepada kesatuan sekerja yang berdaftar di Malaysia dengan enam kluster ditawarkan pada tahun ini antaranya Latihan dan Program Pendidikan serta Kajian Pergerakan Kesatuan Sekerja.

Turut ditawarkan kluster melibatkan penulisan Ilmiah Isu-isu Perburuhan Kesatuan Sekerja, Pembelian Peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pembangunan Modul E-Learning Berbentuk Video Simulasi dan Pembelian Insurans Kelompok Kali Pertama Kepada Anggota Berhak.

Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja melaksanakan inisiatif itu bagi menyokong dan memantapkan pergerakan kesatuan sekerja melalui bantuan kewangan serta mewujudkan platform pendidikan untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan anggota kesatuan melalui pembelajaran secara berterusan.

"Ini bagi mewujudkan pergerakan kesatuan sekerja yang matang dan progresif di Malaysia setara dengan kesatuan sekerja di peringkat antarabangsa dengan menerapkan konsep Malaysia Madani," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:48 PM