Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kerajaan negeri masih memerlukan projek tambakan Pulau A yang kini dikenali sebagai Pulau Silikon meskipun kerajaan Persekutuan bersetuju membiayai sepenuhnya pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata, rasional untuk tetap meneruskan pembangunan pulau berkenaan adalah bertujuan menangani kekurangan tanah terutamanya bagi memenuhi keperluan industri dalam tempoh 40 tahun akan datang.

"Pembangunan Pulau Silikon adalah keperluan negeri Pulau Pinang untuk menangani kekurangan tanah bagi kegunaan industri, khususnya dengan hubungan langsung kepada ekosistem sedia ada di Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan.

"Tanah tambakan PSI (Pulau Pinang Selatan) ini diwujudkan untuk pembangunan industri, komersial, perumahan dan tarikan pelancong pulau bagi memenuhi keperluan 40 tahun yang akan datang," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan A Kumaresan (PKR-Batu Uban) mengenai apakah rasional projek tambakan pulau diteruskan kerana cadangan asal pembinaan pulau berkenaan bertujuan membiayai projek infrastuktur di Pulau Pinang memandangkan kerajaan Persekutuan sudah meluluskan pembiayaan projek LRT.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi dikenali sebagai Green Tech Park di Pulau Silikon akan memperluaskan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas bagi memenuhi keperluan pelabur sedia ada yang ingin mengembangkan operasi mereka selain menarik pelabur baharu.

Katanya, ia termasuk membabitkan aktiviti industri bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan, pembuatan berteknologi tinggi, pemasangan serta pengujian, pembungkusan maju, peranti perubatan, kecerdasan buatan, dan perkhidmatan perniagaan global.

"Maka, boleh dikatakan bahawa Green Tech Park akan menjadi pembangunan utama di Pulau Silikon dan berperanan penting sebagai pemangkin ekonomi, penjana hasil serta pencipta peluang pekerjaan bagi Pulau Pinang untuk jangka masa panjang.

"Projek terbabit juga akan meningkatkan daya saing Pulau Pinang sebagai pengeluar produk elektrik dan elektronik (E&E) penting di dunia dan memperkukuh reputasi Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon di Timur," jelasnya.

Beliau berkata, melalui Pulau Silikon, Pulau Pinang dijangka akan menjana impak Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.1 trilion sekali gus menarik jumlah pelaburan sebanyak RM74.7 bilion dan menghasilkan 220,000 peluang pekerjaan.

Zairil turut menjelaskan, projek tambakan pulau itu dimiliki kerajaan Pulau Pinang dan ia pertama kali kerajaan negeri membangunkan sebuah projek tambakan secara langsung untuk tujuan menjamin pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang negeri itu.

"Tanah Pulau Silikon seluas 930.78 hektar adalah 100 peratus milik penuh kerajaan Pulau Pinang dengan kerajaan negeri berhak menentukan kegunaan tanah di pulau yang sedang ditambak, selaku pemilik projek.

"Namun, sebahagian besar hasil jualan tanah perlu menampung kos penambakan dan kos infrastruktur, manakala selebihnya dikategorikan tanah lapang bagi kegunaan awam serta lain-lain perancangan yang perlu diambil kira dalam sebuah perancangan bandar meliputi hab pengangkutan, rumah mampu milik dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan sama Zairil ketika menjawab soalan tambahan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) turut memberitahu lebihan kewangan daripada projek mewujudkan Pulau Silikon kelak akan dipulangkan kepada kerajaan negeri termasuk untuk tujuan pembangunan infrastruktur di Seberang Perai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:12 PM