NURUL Rasila menunjukkan gambar adik iparnya Wan Nur Umira bersama anaknya Nur Qaira Nadeera yang maut selepas merempuh belakang sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, di Kampung Durian Guling. FOTO Nazdy Harun
NURUL Rasila menunjukkan gambar adik iparnya Wan Nur Umira bersama anaknya Nur Qaira Nadeera yang maut selepas merempuh belakang sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, di Kampung Durian Guling. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun

Kuala Berang: Tingkah laku Wan Nur Umira Wan Yusof yang meninggal dunia bersama anak perempuannya dalam kemalangan jalan raya awal pagi hari ini, dilihat berbeza daripada kebiasaan oleh ahli keluarganya.

Menurut kakak iparnya, Nurul Rasila Mohd Rosli, 26, dia mengesan perubahan Wan Nur Umira, 22, apabila anak bongsu daripada empat beradik itu lebih banyak termenung sejak beberapa hari lalu.

"Arwah juga mengadu sakit di bahagian perut sejak seminggu lalu dan kerap letih apabila pulang ke rumah keluarga di Felda Bukit Bading di sini.

"Ketika dia bersungut letih badan, kami sempat membawanya mengurut. Selain itu arwah beritahu mahu makan macam-macam antaranya, lobster (udang kara) tetapi kami anggap ia permintaan biasa saja.

"Tidak sangka itu permintaan terakhir arwah dan pemergiannya sangat dirasai kerana saya rapat dengannya," katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di Kampung Durian Guling di sini, Wan Nur Umira maut bersama anaknya, Nur Qaira Nadeera, 2, selepas motosikal ditunggang mereka merempuh belakang lori yang diletakkan di bahu jalan.

Nurul Rasila berkata, ketika kemalangan itu, suami arwah, Mohd Afiq Abzah, 22, yang menunggang sebuah lagi motosikal berada di hadapan, mengiringi arwah untuk pulang ke rumah keluarga.

Katanya, kebiasaannya suami isteri itu yang tinggal di Kampung Gondang, Marang kerana Mohd Afiq mengusahakan kedai makan bersama keluarganya akan pulang ke Felda Bukit Bading pada siang.

"Namun, berlainan pula pagi tadi apabila mereka pulang awal pagi sebelum berlakunya kemalangan mengejutkan itu," katanya yang kali terakhir bertemu Wan Nur Umira pada Ahad lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan terakhir arwah memaklumkan Qaira Nadeera kurang sihat dan terdapat ruam dalam mulut serta mahu membawa anaknya ke klinik berhampiran kedai makan suaminya.

Katanya, selain Qaira Nadeera, arwah adik iparnya itu mempunyai seorang lagi anak perempuan, Nur Qasrina Naura, 4.

Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Bading selepas selesai proses bedah siasat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:09 PM