RAMLI Mohamed Yoosuf ketika Sidang Media Khas Pengarah JSJK di Menara KPJ, hari ini. FOTO Bernama
RAMLI Mohamed Yoosuf ketika Sidang Media Khas Pengarah JSJK di Menara KPJ, hari ini. FOTO Bernama
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Orang ramai diingatkan tidak membeli tanah 'lot lidi' kerana tidak mempunyai hak dari sudut undang-undang sebagai tuan tanah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lot lidi sering dijual kononnya sebagai lot banglo, tetapi sebenarnya tanah berstatus pertanian.

"Lot lidi merujuk kepada sebidang tanah pertanian yang mempunyai dokumen hak milik yang sah.

"Ia kemudian dijual secara lot kecil tanpa urusan pindah milik tanah kepada pembeli atau pengeluaran dokumen hak milik berasingan bagi lot kecil berkenaan.

"Untuk rekod, sepanjang tempoh dari 2021 hingga 2023, sejumlah 45 laporan polis diterima berkaitan isu tanah lot lidi membabitkan kerugian RM1.96 juta," katanya.

Menurutnya, pembeli lot lidi sering diminta membuat pinjaman peribadi jika mahu membeli tanah berkenaan berikutan tidak layak membuat pinjaman perumahan berdasarkan status tanah pertanian.

Katanya, pembeli juga tidak akan diberikan geran individu, sebaliknya hanya menerima surat pemegang amanah, malah nama pembeli juga tidak ada pada geran asal tanah berkenaan.

"Pembelian tanah secara lot lidi amat berisiko atas beberapa faktor kerana berdasarkan Kanun Tanah Negara, hak dan kepentingan pembeli hartanah hanya diiktiraf selepas ia didaftarkan kepada nama pembeli.

"Justeru, pembeli tanah lot lidi tiada sebarang hak dari sudut undang-undang sebagai tuan tanah dan apabila berlaku kematian, pembeli lot lidi tidak layak untuk menuntut hak mereka," katanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak terbabit dalam sebarang pembelian lot lidi bagi mengelak menjadi mangsa di kemudian hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:04 PM