ORANG ramai berjalan di atas benteng yang rosak di sepanjang sungai Sonatola semasa hujan lebat di Patuakhali. FOTO AFP
ORANG ramai berjalan di atas benteng yang rosak di sepanjang sungai Sonatola semasa hujan lebat di Patuakhali. FOTO AFP
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dan New Delhi, sedang memantau rapat impak susulan Siklon Remal, yang melanda persisiran pantai Bangladesh dan Bengal Barat, India pada 26 Mei lalu.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Selasa, menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas untuk sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi arahan serta panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh di No. 19, Road No. 6, Baridhara Diplomatic Enclave, Dhaka, no telefon: +88 018 4179 8077 atau e-mel: [email protected].

Mereka juga boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India, di 50-M, Satya Marg, Chanakyapuri, New Delhi atau melalui telefon: +91 859 5550594 atau e-mel: [email protected].

Kementerian Luar akan berusaha untuk memastikan orang ramai dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan terkini, tambah kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh di daerah pantai di Bangladesh dan dua lagi terbunuh di India, manakala berjuta-juta orang terjejas oleh siklon tropika itu.

Taufan itu turut menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan telekomunikasi dan penerbangan serta kerosakan harta benda di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 11:09 AM