MOTOSIKAL yang ditunggang seorang wanita bersama anaknya merempuh sebuah lori yang dipakir di bahu jalan. FOTO Ihsan PDRM
MOTOSIKAL yang ditunggang seorang wanita bersama anaknya merempuh sebuah lori yang dipakir di bahu jalan. FOTO Ihsan PDRM
Nazdy Harun

Marang: Dua beranak maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh lori yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang dekat Kampung Durian Guling, di sini.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Razman Setapa berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 2.25 pagi membabitkan mangsa wanita berusia 22 tahun dan anaknya berusia dua tahun.

Katanya, ketika kejadian mangsa dari arah Kampung Gondang, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Bukit Bading, Ajil.

"Manakala lori itu diparkir di bahu kiri jalan. Mangsa disyaki merempuh belakang lori berkenaan di sebelah kanan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat dihantar ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Inspektor Nik Nur Farhanim Nik Mohamed Fauzi di talian 010 2840273 atau 09 6182222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 10:41 AM