ANGGOTA SPRM membawa ketiga-tiga suspek yang merupakan penjawat awam ke Mahkamah Majistret Kemaman untuk perintah tahanan reman. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA SPRM membawa ketiga-tiga suspek yang merupakan penjawat awam ke Mahkamah Majistret Kemaman untuk perintah tahanan reman. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Tiga penjawat awam ditahan reman enam hari bermula hari ini, disyaki terbabit meminta dan menerima rasuah kira-kira RM25,000 bagi memudahkan urusan berkaitan permohonan tanah.

Perintah reman sehingga 1 Jun itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shafifuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu.

Ketiga-tiganya yang berusia 30 hingga 40-an itu ditahan semalam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

Sumber berkata, suspek didakwa melakukan kesalahan itu dalam tempoh antara 2022 hingga 2023 dan turut terbabit secara langsung dalam menjalankan siasatan, membuat pengukuran sempadan serta menyediakan ulasan teknikal bagi tanah yang dimohon.

"Sepanjang tahun 2022 hingga 2023 itu juga didapati wujud beberapa transaksi wang ke akaun salah seorang suspek sehingga mencecah RM25,000 dan kesemua suspek turut disyaki menerima antara RM500 hingga RM800 mengikut tugasan daripada pemohon," kata sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Akta 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 3:10 PM