PENGARAH JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed pada sidang media khas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Menara KPJ. FOTO Eizairi Shamsudin
PENGARAH JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed pada sidang media khas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Menara KPJ. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Warga emas berusia 61 tahun ke atas menjadi sasaran sindiket penipuan atau 'scammer' susulan nilai kerugian membabitkan golongan itu mencatatkan jumlah tertinggi tahun ini mencecah RM130 juta setakat 19 Mei.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kerugian bagi tahun 2021 hingga 2023 membabitkan golongan itu mencecah RM552 juta.

"Sepanjang tiga tahun (2021-2023), sejumlah 86,266 individu menjadi mangsa kepada jenayah penipuan dalam talian dan daripada jumlah itu 5,533 mangsa atau 6.4 peratus adalah dalam kalangan individu berumur 61 tahun ke atas.

"Trend yang hampir sama dicatatkan tahun ini, yang mana daripada 11,918 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga 19 Mei, 990 mangsa atau 8.3 peratus adalah warga

emas," katanya pada sidang media di Pejabat JSJK di Menara KPJ di sini, hari.

Menurutnya, apa yang membimbangkan adalah nilai kerugian membabitkan warga emas sepanjang tahun ini tertinggi berbanding kategori umur lain walaupun jumlah mangsa kategori itu lebih sedikit.

Beliau berkata, nilai kerugian dicatatkan membabitkan warga emas sebanyak RM130 juta atau 27.7 peratus daripada nilai keseluruhan kerugian dicatatkan setakat 19 Mei lalu iaitu RM471 juta.

Katanya, bagi tempoh tahun 2021 hingga 2023 jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan bagi penipuan dalam talian adalah sebanyak RM2.7 bilion.

Ramli berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM552 juta atau 20 peratus daripada nilai keseluruhan membabitkan mangsa daripada golongan warga emas berusia 61 tahun ke atas.

"Daripada 5,533 mangsa warga emas yang direkodkan sepanjang tempoh tiga tahun, 47.6 peratus atau 2,631 kes penipuan jenayah telekomunikasi, penyamaran dalam talian, penipuan pesanan ringkas (SMS), dan tawaran hadiah dalam talian.

"Trend yang sama dicatatkan bagi tahun ini (setakat 19 Mei) di mana daripada 990 mangsa warga emas yang direkodkan 39.4 peratus atau 390 daripadanya adalah membabitkan jenayah telekomunikasi," katanya.

Menurutnya, jenayah telekomunikasi kerap berlaku kepada mereka yang kurang berpengetahuan berkaitan kemudahan teknologi dan Internet.

"Ia berbeza dengan lima kategori jenayah dalam talian yang lain yang memerlukan mangsa mempunyai kemahiran untuk melayari Internet, menggunakan media sosial dan seumpamanya.

"Maka atas sebab itulah ramai warga emas menjadi mangsa kepada jenayah telekomunikasi berbanding jenayah dalam talian yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 3:07 PM