Azam Baki mengadakan sidang media pada majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan Dan Pengurusan Aset Tenaga Eletrik di Malaysia di Pusat Konvesyen Leo Moggie, TNB. FOTO GENES GULITAH
Azam Baki mengadakan sidang media pada majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan Dan Pengurusan Aset Tenaga Eletrik di Malaysia di Pusat Konvesyen Leo Moggie, TNB. FOTO GENES GULITAH
Hazwan Faisal Mohamad dan Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melihat sebarang kaitan pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang dalam pemberian kontrak kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu.

"Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan.

"Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia di sini, hari ini.

Minggu lalu, Exco Selangor Ng Sze Han menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility adalah suami Hannah, Ramachandran Muniandy.

Mengulas lanjut, Azam berkata, berdasarkan pemerhatiannya dalam pemberitaan di media, projek berkenaan diberikan oleh entiti lain yang tidak mempunyai kena mengena dengan Hannah.

"Jadi setakat ini kita tidak nampak apa apa kesalahan setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 2:55 PM