DANIEYATUL Nabihah Ahmad. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
DANIEYATUL Nabihah Ahmad. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Beberapa remaja sanggup meredah perjalanan jauh semata-mata tidak mahu melepaskan peluang hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang berlangsung bermula 24 Mei lalu sehingga 2 Jun ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Lebai Man, Danieyatul Nabihah Ahmad, 16, berkata, dia menaiki bas semalam dari Sungai Petani, Kedah dan tinggal sementara di rumah ibu saudaranya di Seremban.

"Ibu saudara saya tinggal di Seremban. Jadi, dari Sungai Petani, Kedah saya menaiki bas ke Seremban sebelum saya ke pesta buku hari ini bersamanya.

"Ini kali pertama saya ke pesta buku kerana sebelum ini mempunyai kekangan dari segi masa dan sebagainya," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Mengulas lanjut, Danieyatul berkata, dia menyenaraikan 11 jenis buku bergenre thriller, percintaan dan motivasi yang mahu dibelinya semasa PBAKL 2024 ini.

"Saya menyenaraikan 11 jenis buku yang mahu dibeli atau mungkin lebih dan peruntukannya adalah sebanyak RM350," katanya.

Pelajar SMK Mentakab, Adam Farish Shahrizam, 19, pula berkata, dia hadir ke PBAKL 2024 bersama dua lagi rakannya menaiki bas awal pagi tadi dari Temerloh, Pahang.

Katanya, ini kali kedua dia menghadiri pesta buku sejak tahun 2018 sewaktu lawatan bersama sekolahnya.

"Saya datang hari ini bertujuan bagi merasai suasana dan mendapatkan buku penulis pilihan saya antaranya Nazry Salam.

"Saya meminati bukunya sejak sekolah rendah lagi dan sudah mempunyai koleksi bukunya kira-kira 10 buah. Jadi saya ke sini untuk membeli buku yang belum ada untuk menambah koleksi sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sabak Bernam, Nurhazwani Hasmaddy, 16, menyatakan dia memperuntukkan sebanyak RM250 untuk membeli buku di PBAKL 2024.

"Saya datang ke pesta buku ini sebab harganya yang ditawarkan lagi murah dan banyak diskaun diberikan berbanding jika beli di kedai harganya tetap serta mahal," katanya

Dia yang tinggal di Gombak berkata, antara buku yang dibeli olehnya adalah novel bergenre percintaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 1:12 PM